5 sebab kenapa PRU-15 perlu disegerakan sebelum musim banjir

5 sebab kenapa PRU-15 perlu disegerakan sebelum musim banjir

KETUA Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyenaraikan lima sebab mengapa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu disegerakan sebelum musim banjir dijangka melanda negara.

Menurutnya, sebab pertama adalah bagi menstabilkan semula ekonomi negara dengan memberikan keyakinan kepada pelabur asing melalui sebuah kerajaan yang mendapat mandat rakyat.

“Faktor sebuah kerajaan dengan mandat rakyat adalah antara keutamaan pelabur asing. Pelabur tidak berminat untuk datang ke negara yang mempunyai sebuah kerajaan yang tidak stabil,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, sebab kedua adalah memastikan kerajaan efektif dalam hadapi bencana seperti banjir besar di Sri Muda, Selangor tahun lalu dengan melantik Menteri berdasarkan kemampuan dan bukannya kuota, ugutan atau tuntutan parti sekutu.

“Sebuah kerajaan dengan jemaah Menteri yang kompeten bukan berasaskan kuota dan ugutan akan dapat memastikan tragedi buruk ini tidak lagi berulang. Apatah lagi dalam keadaan bencana banjir diramal berlaku lagi pada akhir November ini,” katanya.

Menurutnya, sebab ketiga pula adalah bagi memastikan kerajaan efektif hadapi krisis ekonomi global yang dijangka akan berlaku tahun hadapan.

“Tanpa sebuah kerajaan yang efektif, kompeten dan berkemampuan, negara ini tidak akan mampu berhadapan dengan krisis yang dijangkakan lebih buruk daripada ‘The Great Recession 1929’.

“Maka dengan krisis tahun hadapan yang dijangka lebih besar, adakah kita boleh bergantung harap kepada sebuah kerajaan hibrid atau campuran yang di dalamnya saling bersaing dan ugut-mengugut (untuk tekan ‘button’)? soalnya.

Asyraf Wajdi berkata, sebab keempat adalah bagi memastikan tiada sabotaj dalam kerajaan termasuk kritikan terhadap Perdana Menteri daripada pemimpin parti sekutu kerajaan sendiri.

“Sudah beberapa kali Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan yang buruk kepada kerajaan walaupun beliau adalah Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri.

“Kenyataan ini sebenarnya mengganggu tumpuan pelabur dan memberi imej buruk kepada kerajaan secara keseluruhan. Potensi sabotaj daripada kelompok ini juga tidak dapat dikesampingkan begitu sahaja.

“Oleh itu sebuah kerajaan dengan mandat baru yang sah hendaklah dibentuk seberapa segera bagi mengelakkan perkara ini terus berulang,” katanya.

Beliau berkata, sebab yang kelima adalah mengembalikan mandat rakyat dengan mengadakan pilihan raya bukanlah kerana ‘gila kuasa’ seperti propaganda mengatakan Umno sedemikian.

“Umno secara konsisten sudah berpendirian bahawa mandat rakyat mesti dikembalikan sejak krisis Februari 2020. Jika rakyat memilih untuk menolak Umno sekali lagi, kami reda selagi mana hak rakyat itu dikembalikan.

“Andai Umno gila kuasa, sudah pasti kami akan meminta negara ini didaruratkan sekali lagi melebihi tempoh penggal. Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dan hak rakyat bagi memilih sebuah kerajaan yang stabil adalah tunjang kepada sistem ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen