Ayuh undi SK Kempadang

Ayuh undi SK Kempadang

MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengucapkan tahniah kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang, Kuantan, Pahang yang tercalon sebagai finalis tiga teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia bagi kategori Inovasi.

Beliau turut mengajak rakyat Malaysia memberi sokongan dan mendoakan kemenangan buat SK Kempadang.

“Syabas dan tahniah buat seluruh warga SK Kempadang, Kuantan, Pahang atas kejayaan tercalon sebagai finalis tiga teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia bagi kategori Inovasi.

“Semoga kejayaan sekolah ini memberi lebih inspirasi dan tekad kepada semua sekolah, guru serta murid untuk menghasilkan inovasi baharu seiring dengan kemajuan dunia pendigitalan dalam pendidikan.

“Sama-sama kita beri sokongan dan doakan kemenangan buat SK Kempadang!” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu media melaporkan SK Kempadang, iaitu sebuah sekolah luar bandar tercalon sebagai finalis tiga teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah AS$50,000 (RM228,925).

SK Kempadang mencipta penyelesaian digital SMARTZOOM, yang mengesan kemajuan pembelajaran murid, menggunakan input data daripada Google Sheets dan Google Chrome kerana semua guru di Malaysia mempunyai akaun Google khusus yang dihubungkan dengan Kementerian Pendidikan.

Justeru rakyat Malaysia diajak bersama-sama membantu kemenangan sekolah berkenaan dengan mengundi menerusi pautan https://worldsbestschool.us.launchpad6.com/2022/entry/818 sebelum 11:59 malam pada 2 Oktober ini (7.59 pagi, 3 Oktober 2022 waktu Malaysia).

Pemenang akan diumumkan pada 19 Oktober ini. – Malaysiapost

Komen