Cubaan culik di Genting Highlands, wanita warga asing didakwa esok

Cubaan culik di Genting Highlands, wanita warga asing didakwa esok

WANITA warga asing yang dipercayai cuba menculik seorang kanak-kanak di Genting Highlands seperti video yang tular di media sosial baru-baru ini, akan didakwa di Mahkamah Majistret Raub, Pahang, pagi esok.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata wanita berusia 42 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 350 Kanun Keseksaan kerana kesalahan kekerasan jenayah.

“Pada 29 September 2022 (esok) kira-kira jam 9 pagi, seorang wanita warganegara asing berusia 42 tahun akan dituduh di Mahkamah Majistret Raub di bawah Seksyen 350 Kanun Keseksaan kerana telah melakukan kekerasan jenayah.

“Sekiranya didapati bersalah, hukuman penjara boleh sampai tiga bulan dan denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan pihak keselamatan Genting Highlands membuat laporan polis berhubung dakwaan seorang kanak-kanak yang dikatakan hampir menjadi mangsa culik oleh wanita warga asing.

Zaiham dalam kenyataannya pada 23 September lalu, memaklumkan dua wanita warga asing masing-masing berusia 42 dan 50 tahun ditahan susulan penularan video kejadian yang berdurasi satu minit 20 saat dan laporan polis dibuat bapa mangsa. – Malaysiapost

Komen