CUEPACS bantah tubuh agensi tunggal jaga pintu masuk negara 

CUEPACS bantah tubuh agensi tunggal jaga pintu masuk negara 

CUEPACS membantah sepenuhnya pelaksanaan serta penubuhan Single Border Agency (SBA) yang akan mengambil alih keseluruhan peranan dan tugas agensi kerajaan di pintu masuk negara termasuk di pelabuhan dan lapangan terbang.  

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata bantahan sebulat suara itu dicapai melalui persidangan perwakilan Tri Tahunan Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia di Melaka hari ini.  

“Selain Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), terdapat beberapa agensi lain yang terlibat dalam menjaga pintu sempadan negara seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Farmasi dan lain-lain agensi. 

“CUEPACS berpandangan agensi sedia ada yang mengawal pintu masuk negara telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan baik serta berkesan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.  

Mengambil contoh JKDM, Adnan menjelaskan, jabatan itu bukan sahaja mengawal pintu masuk negara daripada aspek keselamatan, malah bertanggungjawab memungut pelbagai cukai yang menyumbang kepada hasil negara.  

“Sejak beberapa tahun dahulu, pencapaian hasil kutipan JKDM sentiasa melebihi sasaran yang ditetapkan kerajaan.  

“Ini bermakna JKDM telah melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan cermerlang. Kenapa perlu tugas ini diberikan kepada agensi baharu yang masih belum diketahui keberkesanannya.  

“Ia umpama kerajaan mahu memperjudikan hasil kutipan hasil negara untuk tahun mendatang jika tertubuhnya SBA kelak,” katanya. 

Adnan menegaskan, CUEPACS yakin agensi lain yang menjaga pintu masuk negara turut melaksanakan tugas dan peranan masing-masing dengan berkesan seperti JKDM.  

“Sistem kawalan pintu masuk pelbagai peringkat agensi seperti yang dikuatkuasakan sekarang adalah lebih baik dari dikawal hanya satu agensi sahaja.  

“Contohnya jika barangan yang diimport adalah ubat-ubatan Jabatan Kastam tidak boleh melepaskan dagangan tersebut sebelum diberi kelulusan oleh pihak Farmasi.  

“Begitu juga dengan barang dagangan yang memerlukan kelulusan agensi-agensi lain yang terlibat seperti MAQIS, Sirim dan sebagainya,” katanya.  

Justeru, Adnan berkata, pihaknya menyarankan pertambah baikkan operasi menjaga pintu masuk negara melalui agensi-agensi kerajaan yang sedia ada.  

“Jika terdapat kekurangan dalam pengoperasian pintu sempadan negara ketika ini, kerajaan boleh menambah baik pengoperasian tersebut dan bukannya bertindak menggantikan dengan agensi baru.  

“Koordinasi yang lebih baik antara agensi kerajaan di pintu masuk negara boleh diwujudkan sekiranya perkara ini diperhalusi dengan baik.  

“Kerajaan sewajarnya melakukan rundingan dan sesi libat urus bersama wakil-wakil dan kesatuan pekerja dalam apa jua keputusan yang membabitkan pemerkasaan perkhidmatan awam,” katanya. – Malaysiapost

Komen