Kes SRC RM42 juta: Permohonan semakan Najib pada 21 Oktober 

Kes SRC RM42 juta: Permohonan semakan Najib pada 21 Oktober 

PERMOHONAN semakan Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Mahkamah Persekutuan pada 21 Oktober depan. 

Perkara itu dimaklumkan peguam bela utama bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini, lapor Malaysiakini. 

Prosiding di Mahkamah Tinggi adalah berhubung kes pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana daripada SRC, dimiliki sepenuhnya Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc). 

Kes pengubahan wang haram SRC RM27 juta sebelum ini ditangguhkan sementara menunggu pelupusan kes rasuah Najib membabitkan RM42 juta dana daripada SRC. 

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos menolak rayuannya terhadap sabitan kes SRC RM42 juta. 

Bagaimanapun, pasukan peguam Najib kemudian memfailkan permohonan untuk panel Mahkamah Persekutuan yang berbeza bagi menyemak keputusan itu. 

Ahli Parlimen Pekan itu juga pada masa yang sama memfailkan permohonan berasingan di hadapan Lembaga Pengampunan bagi mendapatkan pengampunan diraja dalam kes SRC RM42 juta. 

Selain kes pengubahan wang haram SRC bernilai RM27 juta, Najib masih mempunyai tiga lagi kes mahkamah jenayah yang belum selesai. 

Ia melibatkan kes rasuah RM2.28 bilion 1MDB, kes pecah amanah RM6.6 bilion International Petroleum Investment Company (IPIC) dan kes pecah amanah pindaan audit 1MDB. – Malaysiapost

Komen