KKM, ATM siap sedia hadapi banjir 

KKM, ATM siap sedia hadapi banjir 

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap siaga menghadapi musim banjir dan tengkujuh yang dijangka berlaku hujung tahun ini. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin berkata kerjasama antara KKM dan ATM adalah bagi membuat persiapan menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir. 

“Hari ini (semalam) saya berpeluang melawat ke sekitar Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi meninjau kesiapsiagaan pasukan ATM. 

“Kami berdua sepakat untuk memperkemas lagi kerjasama kedua-dua kementerian bukan sahaja untuk menghadapi banjir, malah mengoptimumkan penggunaan aset bersama semasa bencana dan aman,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi. 

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan. 

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi. – Malaysiapost

Komen