Pelitup muka tidak lagi wajib dalam kapal terbang

Pelitup muka tidak lagi wajib dalam kapal terbang

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan ketika menaiki kapal terbang dan protokol baharu itu mula berkuatkuasa hari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata keputusan itu dibuat menggunakan pendekatan berasaskan risiko dan selepas mengambil kira penambahbaikan dalam teknologi kapal terbang dan beban kes Covid-19 di Malaysia yang lebih terkawal ketika ini.

Beliau berkata pendekatan yang diambil adalah berasaskan pengudaraan yang baik dalam kabin, penggunaan penapis ‘high-efficiency particulate absorbing’ (HEPA) untuk mengeluarkan bahan cemar bawaan udara, susunan tempat duduk ke hadapan dan kekerapan penjadualan disinfeksi kapal terbang.

“Selain itu, kelonggaran ini juga adalah selaras dengan syor kesihatan daripada negara-negara seperti Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), New Zealand dan Singapura.

“Keperluan pemakaian pelitup muka di dalam kapal terbang bagaimanapun masih tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh negara yang dikunjungi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, KKM bagaimanapun amat menggalakkan agar pemakaian pelitup muka terus diamalkan bagi kumpulan individu tertentu.

“Individu bergejala seperti demam, batuk dan selsema; individu berisiko tinggi seperti warga emas, orang berpenyakit kronik, imuniti rendah dan ibu mengandungi; serta individu yang mengembara bersama golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak,” katanya.

KKM pada 7 September lalu telah mengumumkan kelonggaran terhadap keperluan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan dan memutuskan pemakaian pelitup di dalam bangunan adalah atas pilihan. – Malaysiapost

Komen