PRU15: Orang lama bakal ‘come back’ untuk Bersatu Perlis 

PRU15: Orang lama bakal ‘come back’ untuk Bersatu Perlis 

BEBERAPA nama besar tokoh politik Umno di Perlis dijangka membuat ‘come back’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).  

Bagaimanapun kemunculan mereka untuk bertanding pada PRU15 ini bukan atas lambang Barisan Nasional (BN), sebaliknya atas tiket Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).  

Perkara itu didedahkan Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah yang berkata penyertaan semula ‘orang lama’ dalam PRU15 akan dilihat kepada keperluan parti itu dalam usaha memenangi kerusi yang dipertandingkan di negeri itu kelak. 

Ahli Parlimen Kangar yang juga bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan kini menjadi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang pernah menjadi Ahli Parlimen Padang Besar, Tan Sri Azmi Khalid, dijangka membuat kemunculan semula dalam arena politik sekiranya pimpinan Bersatu Pusat mengkehendaki semula kemunculan mereka. 

“Walaupun mereka ini dianggap veteran tetapi mempunyai pengalaman begitu luas dalam politik dan dahulunya mereka ini adalah Umno, namun sekarang berada dalam Bersatu dan dalam hal ini tidak mustahil berkemungkinan Tan Sri Mohd Radzi kembali semula di Parlimen Kangar. 

“Kita dah pernah suara (hasrat) kerana Tan Sri Mohd Radzi juga orang yang mengatur perlembagaan Bersatu selain menjadi Ahli MPT dan kita pernah menyuarakan hasrat untuk bawanya kembali ke gelanggang pilihan raya tetapi ‘orang lama’ ini dia punya ‘sentimental’ dan santainya masih tetap ada lagi (untuk berada di belakang tabir politik). 

“Namun jika Bersatu Pusat cadangkan beliau untuk bertanding semula, apa kan daya mereka harus kembali ke gelanggang pilihan raya kerana ‘nama besar’ ini lebih membantu untuk menangkan kita punya calon dan parti,” katanya dipetik Berita Harian.  

Abu Bakar menjelaskan, selain nama dua tokoh politik itu, bekas Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sena pada 2008 hingga 2018, Abdul Jamil Saad juga berkemungkinan akan membuat kemunculan semula. 

“Kadang-kadang bekas ahli parlimen dan Adun ini sudah lama berehat dan bergantung kepada keadaan dan seperti saya katakan, jika kita ingin kerusi Parlimen di Perlis ini dapat dimenangi oleh Bersatu, kita mungkin akan letak calon veteran di kerusi berkenaan. 

“Saya lihat mereka terutama Tan Sri Mohd Radzi, Tan Sri Azmi dan Datuk Seri Syed Razlan sesuai bertanding di Parlimen kerana pengalaman mereka sebelum ini menjadi wakil di Parlimen berkenaan. 

“Namun ia bergantung kepada keperluan parti ini untuk mengetengahkan semula mereka, bila keperluan mendesak untuk kita menang, kita terpaksa memanggil semula mereka untuk bertanding pada PRU nanti,” katanya. 

Untuk rekod,  Tan Sri Mohd Radzi pernah menjadi Ahli Parlimen Kangar pada 1982, 1986, 2004 dan 2008 manakala Tan Sri Azmi pula memenangi kerusi Parlimen Padang Besar pada 1995, 1999, 2004 dan 2008 dan Syed Razlan pula menjadi Ahli Parlimen Arau pada 2004. – Malaysiapost

Komen