PRU15: Umno tetap bergerak solo, MN di Terengganu telah lama terkubur – Nawi 

PRU15: Umno tetap bergerak solo, MN di Terengganu telah lama terkubur – Nawi 

UMNO Terengganu sekali lagi menyatakan pendirian untuk bergerak solo dan memutuskan tidak bekerjasama dengan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di sebalik pelbagai polemik berkaitan hubungan kedua-dua parti ketika ini. 

Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad berkata pendirian itu diputuskan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan dipersetujui sebulat suara oleh barisan kepimpinan parti negeri itu. 

“Di Terengganu, pendirian kita setakat ini tidak berubah. Kita masih dengan ketetapan yang diputuskan sebelum ini di mana Umno Terengganu memutuskan untuk bertanding secara solo. Tiada kerjasama dengan PAS. 

“Tiada istilah Muafakat Nasional (MN) di Terengganu. Sebelum ini, kita ada MN tetapi selepas PAS berbaik dengan Bersatu, MN di Terengganu telah lama ‘terkubur’,” katanya memetik Sinar Harian. 

Nawi berkata, biarpun PAS mengisytiharkan Umno bukan lawan dan musuh pada PRU15, parti itu kekal dengan keputusan untuk bergerak solo dan akan menjalankan kempen secara solo di Terengganu. 

“Bila berkempen pada PRU nanti kita akan kempen untuk BN sahaja. Tiada lagi kerjasama dalam politik bersama PAS. 

“Walaupun begitu, ia bergantung kepada keputusan di peringkat pusat. Kita akan akur sekiranya ada perubahan yang diputuskan dan dipersetujui pucuk pimpinan tertinggi Umno,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Sinar Harian

Komen