Tommy Thomas wajar disiasat, didakwa segera 

Tommy Thomas wajar disiasat, didakwa segera 

BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas perlu segera dihadapkan ke muka pengadilan atas kesalahan yang didakwa dilakukannya sepanjang 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara.  

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata siasatan ke atas Tommy perlu dilakukan segera untuk membolehkannya didakwa kerana telah membuat tindakan yang mengancam kepentingan negara.  

“Banyak alasan Tommy Thomas mesti disiasat segera. Tidak boleh ditangguh. Penubuhan Jawatankuasa Petugas Khas ini sahaja ambil masa setahun. Mahu tunggu berapa lama lagi? 

“Viral pula kononnya Jawatuankuasa Petugas Khas buku Tommy Thomas mengesyorkan agar dia disiasat. Ini tunggu berapa lama pula. Tommy Thomas tidak boleh dibiarkan kebal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.  

Mohd Puad berkata, Tommy juga menyebabkan kes rasuah Lim Guan Eng digugurkan sekali gus menunjukkan sikap berat sebelahnya.  

“Banyak salah laku Tommy Thomas. Antaranya menggugurkan kes rasuah Lim Guan Eng dan yang melibatkan orang PH. Dia AG yang berat sebelah dan memihak. 

“Dia menggugurkan kes 12 orang termasuk dua Adun DAP yang telah didakwa kerana menyokong kumpulan pengganas Tamil Eelam (LTTE).  

“Alasan Tommy Thomas ialah kes itu tidak ada prospek untuk menang. Sedangkan PDRM yakin mereka ada bukti kukuh,” katanya.  

Mohd Puad menambah, Tommy juga terlibat dalam beberapa kes lain yang melibatkan kepentingan negara seperti Tabung Haji dan Kesultanan Sulu.  

“Pada September 2018 Rafizi (Ramli) diarah oleh Mahkamah Majistret membela diri kerana  memfitnah Tabung Haji. Tetapi di hari pertama perbicaraan kes itu ditarik balik atas arahan Tommy Thomas 

“Paling durjana ialah isu tuntutan Sultan Sulu. Surat Tommy Thomas (2019) yang mengaku akan bayar balik tunggakan RM48,000 dijadikan bukti Mahkamah Timbang Tara bahawa Malaysia mengaku salah. 

“Sebab itu Malaysia kena bayar RM67 bilion kepada keluarga Sultan Sulu. Aset Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus bernilai AS$2 bilion mahu dirampas.  

“Pendakwaan terhadap pemimpin Umno dan serbuan ke atas rumah Najib begitu pantas sekali bila PH dapat kuasa,” katanya. – Malaysiapost

Komen