Berdepan kes mahkamah: Saya tak pernah buat-buat sakit – Syed Saddiq

Berdepan kes mahkamah: Saya tak pernah buat-buat sakit – Syed Saddiq

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman menzahirkan rasa syukur dengan berakhirnya prosiding pendakwaan bagi kes pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) dihadapinya.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Presiden Muda itu berkata lebih dua tahun beliau bertungkus lumus berhadapan dengan kes tersebut.

Beliau turut menyindir beberapa pemimpin dengan menyatakan sepanjang perbicaraan tidak pernah sekalipun mengambil cuti sakit mahupun ‘buat-buat sakit’.

“Saya dan keluarga dah lama isytihar semua harta. Satu hari perbicaraan pun saya tak pernah minta tangguh dan tunda. Tak pernah minta MC (cuti sakit), minta nak ke umrah, bagi alasan bukan-bukan untuk tangguh perbicaraan.

“Nak buat-buat sakit pun tak pernah lagi. Iyalah, buat apa nak tangguh dan takut kalau yakin saya tidak bersalah?

“Ada orang kata saya tak fikir panjang bila saya masukkan politik untuk bersihkan politik. Tapi kalau bukan kita yang bersihkan politik, siapa lagi?,” katanya.

Syed Saddiq juga mendakwa dia dituduh di mahkamah kerana enggan menyokong kerajaan, namun tidak berasa takut.

“Nak dakwa saya, dakwalah. Nak ugut saya, ugut lah. Semua saya dah pernah kena. Berani kerana benar. Saya jalan tegak sahaja dengan kebenaran,” katanya.

Selasa lalu, prosiding pendakwaan bagi kes pecah amanah dan AMLA di hadapi Syed Saddiq di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selesai, selepas 30 saksi dipanggil memberi keterangan.

Ia selepas pihak pendakwaan menutup kes itu sejurus peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq, menyoal balas tiga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Mohd Syahmeizy Sulong, Nurul Hidayah Kamarudin dan Asbi Munip.

Dalam perbicaraan bermula pada 21 Jun lalu, antara saksi pendakwaan dipanggil ialah ibu bapa Syed Saddiq – Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff.

Selain itu, turut menjadi saksi pendakwaan ialah bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali.

Berikutan itu, mahkamah memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis sebelum Isnin ini manakala 6 dan 7 Oktober depan untuk berhujah secara lisan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 30, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim iaitu Penolong Bendahari Armada Bersau, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2  pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya  antara 8 hingga 21 April 2018.

Bekas Ketua Armada Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – Malaysiapost

Komen