Dakwaan JKPK gagal: Kit Siang minta Abdul Latiff diberi peluang kedua

Dakwaan JKPK gagal: Kit Siang minta Abdul Latiff diberi peluang kedua

PENGERUSI Jawatankuasa pilihan Khas (JKPK) Parlimen bagi Agensi di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Latiff Abdul Rahman, patut diberikan peluang untuk memanggil sidang jawatankuasa itu dalam minggu pertama sidang Parlimen bulan depan, kata Lim Kit Siang.

Bagaimanapun, Veteren DAP itu berkata sekiranya Ahli Parlimen Kuala Krai berkenaan enggan berbuat demikian, maka
ketujuh-tujuh ahli JKPK yang lain digesa membawa usul tidak percaya terhadapnya supaya Pengerusi JKPK baharu dapat dilantik.

Katanya, Agensi di Jabatan Perdana Menteri itu mempunyai banyak tanggungjawab baharu dan tugas belum selesai yang tidak boleh diabaikan sekiranya mahu menjadi sebuah JKPK yang kompeten dan berkesan.

“Tugas dan tanggungjawab ini adalah menyiasat isu konflik kepentingan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang memiliki sejumlah besar saham korporat yang tidak diisytiharkan.

“Kenyataan Azam hampir dua bulan lalu yang SPRM akan umumkan dapat siasatannya terhadap kontrak enam kapal tempur pesisir (LCS) melibatkan RM9 billion yang bermula beberapa tahun lalu, tanpa ada apa-apa yang diumumkan sehingga kini,” katanya menerusi kenyataan di blognya.

Kit Siang berkata, kenyataan Azam pada Julai lalu yang menyatakan Indeks Persepsi Rasuah Transparency International tidak menggambarkan keadaan sebenar rasuah dalam sesebuah negara dan CPI mengukur persepsi rasuah dalam sektor awam di negara ini tidak berasas kepada fakta atau bukti.

“Adakah kritikan Azam terhadap TI CPI bermakna SPRM kini tidak menyokong Pelan Integriti Kebangsaan yang menyasarkan Malaysia untuk berada dalam kalangan 30 negara teratas dengan paling kurang rasuah.

“Justeru JKPK perlu bertanya kepada SPRM, apa dilakukan badan tersebut untuk memastikan Malaysia tidak ditinggalkan di belakang Indonesia, China, dan India, dan juga banyak negara lain lagi dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam penerbitan carta TI CPI menjelang penghujung dekad ini,” katanya.

Tambahnya, begitu juga hasil siasatan SPRM terhadap individu dinamakan dalam lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) seperti didedahkan semasa perbicaraan rasuah Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Adakah Parlimen Malaysia akan mencipta sejarah dengan menyaksikan undi tidak percaya terhadap Pengerusi sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas?,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan
seorang ahli JKPK menggesa jawatankuasa itu dibubarkan menjelang tarikh luputnya pada 10 November ini, kerana gagal meneliti dan menyiasat pegawai kerajaan dalam beberapa isu berkepentingan awam.

Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata, sudah lebih lapan bulan berlalu sejak JKPK tersebut memanggil Azam Baki untuk menjawab mengenai skandal itu, namun ketua pesuruhjaya SPRM itu masih belum tampil di hadapan jawatankuasa.

Sebelum itu, Abdul Rahman membatalkan mesyuarat selepas Azam menulis surat menyatakan sebab beliau enggan hadir.

Khoo berkata, jawatankuasa itu hanya bersidang tiga kali tahun ini, yang kebanyakannya diisi oleh taklimat dan pembentangan biasa agensi kerajaan. – Malaysiapost

Komen