Firdaus Wong dijangka saksi baharu kes Ebit Lew

Firdaus Wong dijangka saksi baharu kes Ebit Lew

PENDAKWAH bebas, Firdaus Wong dijangka antara saksi baharu yang akan dipanggil pada sesi perbicaraan hari ketiga kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom, hari ini.

Selain Firdaus, seorang lagi pegawai polis turut dipanggil pada sesi perbicaraan itu nanti, lapor Sinar Harian.

Setakat ini, saksi pertama pihak pendakwaan ialah konsultan atau penceramah motivasi, Mohd Fairuz Abu, 37, sudah dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah sepanjang dua hari perbicaraan berlangsung.

Sementara itu, Ebit tiba di pekarangan mahkamah pada jam 9.30 pagi tadi dengan memakai baju berwarna biru muda dan berseluar hitam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri, Nur Masrin Amalia.

Ebit pula diwakili barisan peguamnya iaitu Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Ebit berhadapan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

Komen