Jangan ‘pendam’ laporan buku Tommy Thomas terlalu lama – Zahid

Jangan ‘pendam’ laporan buku Tommy Thomas terlalu lama – Zahid

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta pihak berkuasa tidak ‘memendam’ terlalu lama hasil siasatan pasukan petugas khas berhubung tuduhan salah laku dalam buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas “My Story: Justice in the Wilderness”.

Presiden Umno itu berkata, ini kerana laporan itu dibimbangi akan mengulangi kontroversi siasatan ke atas hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang hasil siasatannya tidak diketahui hingga kini.

Katanya, laporan hasil siasatan buku tersebut juga wajar didedahkan kepada umum bagi membongkarkan perbuatan Tommy.

“Jangan dipendamkan terlalu lama kerana dibimbangi kontroversi dimanakah kertas siasatan kes Mohd Nazlan boleh berulang.

“Laporan itu mustahak didedahkan kepada umum kerana rakyat perlu mengetahui perihal sebenar membabitkan bekas peguam negara lantikan politik tersebut.

“Laporan oleh pasukan petugas khas itu juga penting kerana ia berpotensi mendedahkan tentang isu pendakwaan terpilih yang berlaku semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah Ahmad Zahid, selain itu, ia dapat mendedahkan  kemungkinan berlaku campur tangan urusan kehakiman oleh seorang bekas Perdana Menteri untuk kepentingan politiknya.

Ahmad Zahid turut memuat naik laporan Malaysiapost yang melaporkan pasukan petugas khas mengesyorkan supaya Thomas disiasat.

Katanya, pasukan petugas khas bagi menyiasat buku Thomas tidak menolak kemungkinan wujud salah laku oleh bekas peguam negara itu ketika memegang jawatan berkenaan.

Berdasarkan dokumen laporan pasukan berkenaan yang dilihat Malaysiapost, Pasukan Petugas Khas mengesyorkan Jabatan Audit Negara (JAN) serta agensi kerajaan yang berkaitan menjalankan audit dan penyiasatan yang sewajarnya ke atas Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ahmad Zahid berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Ogos tahun lalu telah meminta kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan buku Thomas.

Katanya, suruhanjaya itu amat penting kepada negara kerana ia mengundang tanda tanya mengenai campur tangan politik dalam institusi peguam negara, kehakiman dan keselamatan.

“Bagaimanapun kita berharap dakwaan bahawa peguam negara kerajaan sekarang mengesyorkan laporan akhir siasatan itu tidak didedahkan kepada umum sekadar desas-desus,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata,
kebimbangan juga timbul kerana sebahagian anggota Kabinet kerajaan campuran sedia ada adalah bekas anggota Kabinet kerajaan PH.

“Anggota Kabinet terbabit pernah 22 bulan bekerjasama dan `bermuafakat’ bersama Thomas, maka dikhuatiri mungkin ada perkara yang bagi mereka wajib diselindungi,” katanya. – Malaysiapost

Komen