Matawang Malaysia menurun: Shahril nasihat Rafizi lihat data, fakta

Matawang Malaysia menurun: Shahril nasihat Rafizi lihat data, fakta

TINDAKAN Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang cuba menggambarkan ekonomi Malaysia merudum akibat pelabur tidak mahu melabur dan membeli barangan eksport negara disifatkan tidak benar.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata, tidak salah fakta itu bahawa nilai sesebuah matawang bergantung kepada permintaan sesebuah mata wang, namun apa yang disampaikan Rafizi adalah sebaliknya dan boleh menyebabkan kekeliruan dan salah faham.

Jelasnya, nilai matawang negara turun kerana aliran kewangan yang sememangnya banyak bergerak ke Amerika Syarikat (US) dan seluruh dunia mengalami nasib sama.

“Betul, nilai sesebuah matawang ini bergantung kepada permintaan sesebuah mata wang dan antara elemennya ialah jumlah eksport serta pelaburan. Dia (Rafizi) kata mata wang ini turun sebab kita tak cukup eksport dan pelaburan. Jadi, betul ke jumlah permintaan Ringgit ini menurun disebabkan perkara tersebut?

“Cuba tengok carta ini (Carta Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Julai 2022), eksport naik zaman siapa? Foreign Direct Investment (FDI) naik zaman siapa? Zaman Pakatan Harapan (PH) turun, zaman Perikatan Nasional (PN) turun dan zaman Ismail Sabri naik.

“Kenapa Ringgit turun berbanding Dolar Amerika Syarikat (USD) pada zaman Ismail Sabri? Sebab Rafizi cerita tak habis… Rafizi cuba gambarkan pelabur tak mahu masuk ke Malaysia, tidak mahu membeli eksport kita dan ekonomi Malaysia ini teruk sangat sebab itu nilai matawang kita turun.

“Bukan, ini soal financial flows yang memang banyak bergerak ke US sekarang ini,” katanya menerusi hantaran video di Facebooknya.

Shahril berkata, punca utama permintaan matawang Ringgit rendah bukan disebabkan FDI dan eksport sebaliknya disebabkan Foreign Portfolio Investment (FPI).

“Financial flows ini adalah apabila kita memindahkan dana dari satu negara ke negara lain, bukan untuk buat kilang baharu atau beli barangan dalam negara tersebut. Tetapi untuk mendapatkan pulangan ataupun interest yang lebih tinggi.

“Apabila US menaikkan kadar faedahnya dengan cukup agresif sekali, maka banyak dana yang keluar daripada negara lain masuk ke aset-aset USD.

“Bukan untuk buat kilang di US, bukan untuk beli barangan, tetapi untuk mendapat pulangan kadar faedah yang lebih tinggi. Baik dalam akaun bank ke, baik dia beli bon US ke, itulah sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Tambahnya, mata wang negara seluruh dunia turun berbanding USD disebabkan perkara ini dan turut mengingatkan pihak pembangkang terutamanya Rafizi untuk melihat data serta fakta dalam mengulas sesuatu isu.

“Seluruh dunia banyak mata wangnya turun berbanding USD. Adakah negara-negara lain ekonominya sampah juga? Bukan. Tetapi ini soal keadaan sekarang, interest rate US sangat tinggi.

“Dalam keadaan ketidaktentuan dan krisis ekonomi dunia, memang selalunya dana akan pergi ke USD. Pendek cerita, dalam mengulas sesuatu isu, kena tengok data, kena tengok fakta. Formula itu penting. Tetapi realiti lebih penting,” katanya. – Malaysiapost

Komen