Pemandu lori maut dihempap papan tanda

Pemandu lori maut dihempap papan tanda

SEORANG lelaki maut selepas lori dipandunya dihempap papan tanda yang tumbang di Persiaran Paya Terubong 2, Georgetown, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku apabila lori itu yang melebihi had ketinggian dibenarkan, merempuh papan tanda lalu tumbang menghempap bahagian depan lori terbabit.

Mangsa S Kumaravelan, 48, yang tersepit di tempat duduk pemandu, disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di lokasi.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong Khairul Anuar Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.20 petang.

Katanya, anggota yang turut dibantu pasukan dari BBP Bayan Baru, bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan.

“Ketika tiba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah lori muatan barang seberat lima tan dan terdapat seorang lelaki yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

“Anggota kemudian mengambil masa kurang 10 minit bagi mangsa mengeluarkan yang tersepit menggunakan peralatan khas,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Menurut Khairul Anuar, mangsa yang disahkan meninggal dunia diserah kepada polis bagi tindakan lanjut.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat.

Difahamkan laluan berkenaan adalah bagi kegunaan kenderaan ringan dengan had ketinggian tidak melebihi 2.6 meter. – Malaysiapost

Komen