Pendakwaan mohon Lokman dipenjara tiga bulan

Pendakwaan mohon Lokman dipenjara tiga bulan

PIHAK pendakwaan berhujah bahawa hukuman penjara sebulan terhadap Datuk Lokman Noor Adam kerana kesalahan menghina mahkamah perlu ditingkatkan demi menjaga maruah kehakiman.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu harus dikenakan sekurang-kurangnya tiga bulan penjara kerana menghina mahkamah, lapor Malaysiakini.

Ia berkaitan perbicaraan rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung penyelewengan dana RM2.28 bilion.

Perbicaraan hari ini adalah mengenai rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Julai tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara sebulan ke atas Lokman kerana menghina mahkamah.

Permohonan komital pihak pendakwaan adalah mengenai dakwaan ugutan Lokman ke atas bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Effendi Nazaruddin – saksi pendakwaan kelapan dalam perbicaraan rasuah 1MDB bekas perdana menteri itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan oleh pasukan peguam Lokman untuk membatalkan kesalahan komital itu dan menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya

Semasa perbicaraan di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Kamaludin Md Said, Mohd Dusuki secara lisan berhujah bahawa hukuman penjara sebulan tidak mencukupi untuk menghantar mesej betapa seriusnya kesalahan komital.

“Kami merayu berhubung hukuman penjara sebulan kerana ia tidak mencermin tuntutan kepentingan awam, yang memerlukan hukuman lebih tinggi untuk menunjukkan kepada rakyat secara amnya bahawa sistem kehakiman perlu dilindungi.

“Kita perlu melindungi kepentingan awam dan maruah pentadbiran keadilan. Tingkah laku responden (Lokman) telah menjejaskan perkara ini.

“Hukuman itu perlu ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya tiga bulan,” kata Mohd Dusuki kepada panel seperti dilapor portal tersebut.

Bagaimanapun, peguam utama Lokman, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyangkal dengan mendakwa permohonan penghinaan itu cacat kerana ia tidak mempunyai butiran terperinci mencukupi berhubung dakwaan perbuatan menghina Amhari Effendi.

Peguam itu menegaskan tindakan Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari Effendi bukan menghina mahkamah kerana membuat laporan polis adalah tugas awam, terutama bagi Lokman yang terlibat dalam politik.

Muhammad Shafee berhujah bahawa sekalipun panel hakim memutuskan untuk mengekalkan keputusan penghinaan terhadap Lokman, namun hukuman penjara perlu dibatalkan dan digantikan dengan denda kurang daripada RM2,000.

Peguam itu menambah bahawa denda kurang daripada RM2,000 akan membolehkan Lokman terus menjadi calon pada pilihan raya akan datang.

Selepas mendengar hujah lisan daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pasukan peguam Lokman, Mahkamah Rayuan menangguhkan penghakiman, dan menetapkan 3 Oktober untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh keputusan. – Malaysiapost

Komen