Pihak lain tak berhak buat kenyataan, keputusan wakili PAS – Nasrudin

Pihak lain tak berhak buat kenyataan, keputusan wakili PAS – Nasrudin

SEBARANG perbincangan, pertemuan dan rundingan yang dibuat secara terbuka atau tertutup mempunyai disiplin dan akhlaknya yang tersendiri, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Tegasnya, susulan perbincangan melibatkan PAS dan parti, lain semua pihak wajar berhati-hati mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan atau hasil perbincangannya agar tidak dilihat kontra antara satu sama lain.

Katanya, ini khususnya dalam perkara yang telah ada keputusan muktamad dari parti-parti yang terlibat termasuk PAS.

Justeru menurut Nasrudin, ia terlebih dahulu perlu diperhalusi dan kembali dirujuk kepada parti masing-masing dengan mengambil kira keputusan yang telah dibuat sebelumnya.

“Kegopohan membuat kenyataan oleh pihak tertentu yang bertentangan dengan keputusan PAS sebelumnya akan disalah-erti sebagai satu tindakan yang disebut sebagai “politik sailang” bagi membuatkan  PAS bungkam, kelu dan terjerat dengan keadaan yang berlaku.

“Juga dilihat seolah-olah mahu menjadi “jurucakap tanpa tauliah” bagi pihak PAS, sedang PAS telah mempunyai keputusan atau sikapnya tersendiri yang telah pun diumumkan kepada masyarakat awam oleh Presiden dan Setiausaha Agungnya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau tidak menamakan pihak yang didakwa mengeluarkan kenyataan bagi pihak PAS, namun dipercayai ia merujuk kepada beberapa kenyataan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata penentuan sikap PAS sangat jelas dan konsisten termasuk Agenda Perpaduan Ummah yang mana Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah mendukungnya dengan cermat dan teliti.

“Ia berpaksi kepada keputusan Retreat Kepimpinan PAS, Mesyuarat AJK PAS Pusat dan Muktamar Tahunan PAS bahawa BN adalah rakan ta’awun (kerjasama politik) PAS. Justeru BN bukan musuh.

“PAS sedang memfokuskan usahanya untuk tidak membenarkan PH kembali meraih takhta pemerintahan negara ini melalui PRU akan datang.

“Antara usaha PAS ke arah itu ialah memastikan parti-parti Melayu Muslim tidak bertembung sesama sendiri. Masa yang sama, membina hubungan erat dengan pihak non muslim yang tidak ekstrem dan memusuhi Islam,” katanya.

Tambahnya lagi, andai semua pihak mendahulukan keikhlasan dan ketulusan dalam menentu sikap berpolitik, segala perkara kusut dan khilaf boleh dirungkai dan diselesaikan menerusi meja rundingan.

Kelmarin Muhyiddin dilaporkan berkata, PAS dijangka akan memuktamadkan hala tuju mereka dalam kerjasama antara Umno mahupun PN dalam masa terdekat.

Muhyiddin berkata pendirian itu dizahirkan PAS menerusi Abdul Hadi Awang dalam pertemuan mereka.

Malah, Muhyiddin berkata, Abdul Hadi juga menjelaskan pertemuan beliau dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi baru-baru ini tidak mencapai apa-apa keputusan.

Sebelum itu Muhyiddin mengisytihar BN sebagai musuh utama PN pada PRU15 pada ketika PAS telahpun menyatakan sebaliknya. – Malaysiapost

Komen