SPRM selesai siasat Hakim Nazlan – Azam Baki

SPRM selesai siasat Hakim Nazlan – Azam Baki

SIASATAN terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah lengkap, namun butiran lanjut tidak boleh didedahkan.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki yang berkata, pihaknya belum mendapat arahan selanjutnya dari Jabatan Peguam Negara.

“Dalam kes berkenaan, pada saya, kami telah selesaikan kertas siasatan, sepertimana saya sebut dahulu, belum dapat mengumumkan apa-apa arahan lanjut yang kita terima dari…kita akan terima dari Jabatan Peguam Negara.

“Buat masa ini saya tidak boleh ulas siasatan ini,” katanya kepada pemberita di luar acara SPRM di Georgetown Pulau Pinang, hari ini.

Nazlan, yang mengetuai perbicaraan Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International di Mahkamah Tinggi, telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas perdana menteri itu.

Dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan, Najib berhujah bahawa Nazlan berada di bawah konflik kepentingan yang serius ketika mengetuai perbicaraan itu.

Bekas Perdana Menteri itu kalah dalam rayuan terakhir dan sedang menjalani hukuman di penjara Kajang.

Pada 22 April lalu, SPRM menjelaskan, pihaknya telah membuka kertas siasatan berikutan laporan dibuat mengenai jumlah yang tidak dapat dijelaskan lebih RM1 juta dalam akaun bank Nazlan.

Nazlan kemudiannya membuat laporan polis berhubung dakwaan itu, berkata ia “palsu, tidak berasas dan berniat jahat” dan bertujuan menjatuhkan kredibilitinya sebagai hakim.

Pada bulan Mei lalu, SPRM berkata, ia telah menyelesaikan siasatannya terhadap Nazlan. Bagaimanapun, awal bulan ini, Azam berkata, kertas siasatan telah dikembalikan kepada SPRM untuk siasatan lanjut. -Malaysiapost

Komen