Projek LCS: Hishammuddin perlu jelaskan di Dewan Rakyat

Projek LCS: Hishammuddin perlu jelaskan di Dewan Rakyat

VETERAN DAP Lim Kit Siang mendesak Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan perkembangan projek pembinaan Kapal tempur pesisir (LCS) pada hari pertama sidang Dewan Rakyat yang bakal berlangsung pada minggu depan.

Beliau berkata, Menteri Pertahanan itu perlu menjelaskan mengapa projek kontroversi itu tidak boleh disamakan seperti skandal 1MDB.

“Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein, patut membuat Kenyataan Menteri mengenai skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion pada hari Isnin, 3 Oktober 2022 dan menjelaskan mengapa skandal ini bukan satu lagi skandal seperti 1MDB.

“Setakat ini, perolehan enam buah LCS oleh Kementerian Pertahanan ini telah mencipta sejarah dengan melangkaui tempoh lima rancangan Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, projek perolehan enam LCS yang melibatkan RM9 billion mungkin mencipta rekod sebagai projek yang melangkaui lima Rancanhan Malaysia (RMK) untuk disiapkan, sekali gus menjadi satu lagi bukti salah guna kuasa, pecah amanah, dan kleptokrasi dalam tadbir urus di Malaysia sejak dari era RMK-9 sehinggalah sekarang.

“Rancangan ini bermula semasa tempoh Rancangan Malaysia ke-sembilan semasa Najib Razak merupakan Menteri Pertahanan dalam Kabinet Abdullah Badawi dan menurut Panglima Angkatan Malaysia, Affendi Buang, dua minggu yang lepas, kapal-kapal ini hanya mula dihantar dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-13 (2026 – 2030).

“Dengan kapal pertama dijangka siap pada Januari 2026, kapal kedua pada September 2026, kapal ketiga pada Mei 2027, kapal keempat pada Januari 2028, dan kapal kelima pada September 2028.

“Bilakah kapal keenam dijangkakan siap atau adakah rancangan untuk kapal keenam ini telah pun dikaramkan?” katanya.

Kit Siang yang merupakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, terdapat satu persoalan yang perlu dijawab oleh Hishammuddin dalam Kenyataan Menteri pada hari pertama sidang Parlimen pada minggu hadapan.

“Apakah kos sebenar perolehan enam buah LCS ini kerana sudah jelas sekarang yang RM9 billion yang diluluskan untuk perolehan enam LCS ini tidak mencukupi.

“Menteri Pertahanan bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada Parlimen dan rakyat mengenai perkembangan terkini projek LCS ini,” katanya. -Malaysiapost

Komen