Tempat terhad, 20,732 calon yang layak gagal masuk universiti awam

Tempat terhad, 20,732 calon yang layak gagal masuk universiti awam

PERSAINGAN sengit terutama bagi permohonan program kompetitif di Universiti Awam (UA) antara punca 20,732 calon layak dan melepasi syarat am, gagal mendapat tawaran kali pertama ke universiti yang diumumkan pada 25 September lalu.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar berkata pihaknya menerima 115,477 permohonan daripada calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf, namun hanya 90,745 calon layak dan melepasi syarat am berbanding 71,615 kapasiti tempat disediakan di 20 UA bagi kemasukan sesi akademik 2022/2023.

Daripada jumlah keseluruhan permohonan itu, katanya, sebanyak 48,665 calon kategori STPM, matrikulasi, asasi, 2,964 Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan 19,976 calon diploma atau setaraf.

Bagaimanapun, beliau berkata, mereka yang gagal permohonan kali pertama boleh membuat rayuan yang masih dibuka sehingga 5 Oktober dan pemohon dibenar mengemukakan empat pilihan berbanding 12 pilihan yang diberikan kali pertama.

Menurutnya, persaingan tinggi untuk 10 program kompetitif sekurang-kurangnya tiga kali ganda jumlah permohonan diterima berbanding penawaran tempat.

Sebagai contoh, katanya, bagi program perubatan, seramai 1,841 calon layak, namun 692 hanya ditawarkan tempat; program perakaunan (4,258 calon layak, 1,502 tempat) dan program undang-undang (1,660 calon layak, 541 tempat).

Beliau berkata, antara sebab mereka yang gagal ialah tidak memenuhi syarat khas program pengajian, tiada kekosongan tempat terutamanya program kompetitif, gagal dalam saringan temuduga atau ujian selain kedudukan merit rendah.

“Namun, jika masih gagal di peringkat rayuan, jangan anggap tiada lagi peluang belajar. Calon boleh membuat permohonan kemasukan terus ke universiti.

“Mereka juga ada pilihan masuk ke institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang turut ada ditawarkan biasiswa dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN).

“Rayuan ke Kolej Komuniti dan institut latihan kemahiran awam (ILKA) adalah melalui institusi tersebut dan bukan melalui UPUOnline. Hanya rayuan ke UA, politeknik sahaja melalui UPUOnline.

“Tempat di universiti awam adalah terhad dan sekarang ini kompetitif terlalu tinggi sekali gus menunjukkan bakat untuk masuk universiti adalah terbaik dalam kalangan terbaik iaitu bakat masa depan negara,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Husaini berkata, permohonan melalui UPU Online itu turut menyediakan empat laluan khas melibatkan golongan B40, orang kurang upaya (OKU), komuniti orang asli dan atlet berdasarkan data yang diperoleh daripada pelbagai agensi.

Katanya, hampir 100 peratus calon yang memohon daripada empat kategori itu ditawar tempat ke universiti iaitu kesemua 126 calon OKU ditawarkan tempat; 86 daripada 106 orang asli berjaya mendapat tempat selain 32 daripada 39 atlet diterima masuk universiti.

Bagi golongan B40 pula, 75.8 peratus ditawarkan tempat ke universiti iaitu seramai 23,032 calon mendapat tempat berbanding 30,389 permohonan layak.

Pada masa sama, Husaini berkata, pihaknya mempertimbang untuk memasukkan sebab kenapa setiap pemohon gagal dalam sistem UPU Online akan datang berbanding ketika ini hanya menyatakan calon berjaya atau gagal.

Langkah itu, katanya boleh memberi maklumat awal kepada calon berhubung punca kegagalan untuk mendapat tawaran sehingga memberi persepsi negatif terhadap sistem UPU Online itu sendiri.

Sebelum ini, media me­laporkan rungutan segelintir pelajar cemerlang menyalahkan sistem Unit Pusat Universiti (UPU) yang didakwa tidak adil dalam memilih calon daripada pelbagai peringkat termasuk lepasan asasi, matrikulasi, STPM dan diploma untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di universiti awam. – Malaysiapost

Komen