Anwar kemuka usul bincang kenaikan harga barang, kejatuhan ringgit di Parlimen

Anwar kemuka usul bincang kenaikan harga barang, kejatuhan ringgit di Parlimen

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengemukan usul berkaitan isu kenaikan harga barang dan kejatuhan ringgit untuk dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat bermula minggu depan.

Anwar berkata, usul berkenaan dikemukan menerusi sepucuk surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dengan menegaskan masalah berkenaan memberi kesan kepada rakyat serta negara dan perlu ditangani segera.

“Saya telah mengemukakan suatu usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan 18 (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat seperti berikut:

“Bahawa Dewan yang bersidang pada hari ini (3 Oktober) membincangkan permasalahan ekonomi yang melibatkan krisis kenaikan harga barang dan kejatuhan parah mata wang negara yang telah menjejaskan kehidupan rakyat dan isu ini teramat memberi kesan kepada rakyat dan negara.”

“Perkara ini perlu disegerakan kerana kenaikan harga barang yang mendadak dan kejatuhan nilai mata wang negara terkini memberi kesan terus kepada rakyat baik secara jangka pendek dan jangka panjang,” katanya menerusi Facebook.

Justeru, Anwar berkata, beliau berharap usul berkenaan mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Azhar.

Dalam hantaran sama, Anwar turut melampirkan surat yang dihantar kepada Azhar, antara lain menyatakan krisis itu juga berlaku selepas pasca Covid-19 pastinya memberi impak khusus kepada rakyat.

“Ini perkara berkenaan kepentingan orang ramai kerana kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai mata wang melibatkan setiap lapisan masyarakat khususnya rakyat daripada golongan rentan malah peniaga,” katanya dalam surat berkenaan.

Sebelum ini, Anwar mencadangkan kerajaan membawa usul khas menangani krisis kenaikan harga barang dan kejatuhan ringgit pada sidang Dewan Rakyat, Isnin ini.

Presiden PKR itu berkata, beliau juga sedia menawar diri selaku Ketua Pembangkang supaya diberi laluan untuk mengusulkan perkara itu bagi diberi keutamaan untuk dibahaskan.

Justeru, Anwar berkata, beliau juga sudah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis Dewan Rakyat bagi mengambil tindakan segera untuk menangani krisis yang menjejaskan kehidupan rakyat. – Malaysiapost

Komen