Ebit bersyukur boleh buktikan difitnah di mahkamah 

Ebit bersyukur boleh buktikan difitnah di mahkamah 

PROSIDING mahkamah adalah tempat terbaik mencari kebenaran, kata Ebit Lew.  

Pendakwah yang berdepan pendakwaan gangguan seksual itu tetap bersyukur kerana mahkamah menjadi platform membersihkan dirinya daripada segala fitnah.  

“Alhamdulillah, …syukur kepada Allah. Setahun saya menanti hari mahkamah ini. Pelbagai fitnah tidak berhenti yang tidak dapat disebutkan saya tanggung sendiri sejak balik dari Palestin tempoh hari. 

“Dengan ke mahkamah ini, saya berharap dapat tahu kebenaran. Mahkamah adalah tempat yang paling tidak boleh cakap apa sahaja. Kena ada bukti dan sekiranya tiada bukti apa sahaja perkara pasti akan ditolak,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.  

Ditanya perasaannya sepanjang perbicaraan selama empat hari di Mahkamah Majistret Tenom, Ebit, 37, memaklumkan tetap sedih kerana perlu melalui perkara seumpama itu. 

“Sedih juga sebab kena menanti lagi. Kalau boleh saya nak teruskan Sabtu esok sahaja sampai habis tetapi bukan saya yang tentukan. 

“Peguam saya turut cuba meminta tarikh lebih awal seperti tarikh paling awal November tetapi pendakwa raya tidak dapat tarikh itu kerana tarikh mereka penuh disebabkan pendakwa raya dari Putrajaya. 

“Oleh itu, kami bersetuju meneruskan perbicaraan ini pada Disember,” katanya. 

Terdahulu, Majistret Nur Asyraf Zolhani memberitahu prosiding hari keempat ditangguhkan dan akan disambung semula pada 20 hingga 22 Disember depan. 

Pada 18 Februari lalu, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim didakwa atas 11 pertuduhan membabitkan hantaran gambar serta perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp. 

Semua kesalahan itu didakwa berlaku ke atas seorang wanita Melayu di daerah Tenom antara Mac hingga Jun 2021. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Ebit Lew

Komen