Gagal yang gagal difahami mengelirukan rakyat – Chegu Bard

Gagal yang gagal difahami mengelirukan rakyat – Chegu Bard

SEMUA pemimpin politik sama ada pro kerajaan atau sebaliknya perlu memberi fokus terhadap perkara yang memberi manfaat kepada negara, bukan menuding jari satu sama lain sehingga mengelirukan rakyat.

Pemimpin Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali dengan panggilan Che’gu Bard berkata, perkataan ‘gagal’ yang digunakan mereka untuk menyerang antara saru sama lain telah mengelirukan rakyat, termasuklah dirinya sendiri.

“Aduh saya antara yang gagal untuk fahami… boleh tak semua yang bergelar pemimpin di atas bertenang dan fokus pengurusan negara.

“Sebelah kaki dunia hari ini sudah melangkah masuk ke satu kecelaruan krisis yang digelar ‘perfect strom’,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam hantaran itu, Chegu Bard memuat naik dua info grafik memaparkan barisan Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan anggota Majlis Pemulihan Negara (MPN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menjelaskan mengenai ‘gagal’ Che’gu Bard hairan dengan pemimpin pembangkang yang mendakwa negara dipimpin kerajaan gagal, namun takut menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) awal.

“DAP, MUDA, PKR dan sekutu serang PM gagal dan kerajaan gagal.. tapi merekalah parti politik paling gagal kerana mereka tuduh kerajaan gagal tapi mereka juga suruh kerajaan itu kekal serta jangan adakan PRU15.

“Siap buat demo dan kutip tandatangan jangan adakan PRU15 demi pertahan kerajaan yang mereka kata gagal,” katanya.

Manakala, Che’gu Bard mengaku terkeliru dengan perkataan ‘gagal’ apabila penyokong kerajaan dan penyokong MPN menyerang antara satu sama lain.

“Penyokong MPN serang PM bagitahu kerajaan atau Kabinet gagal ada yang syor bubar sahaja kerajaan.

“Penyokong PM atau kerajaan pula serang MPN dengan kata MPN gagal serta ada yang syor bubarkan sahaja. Soalnya kalau tengok anggota MPN dan anggota Kabinet hampir sama orangnya,” katanya.

Justeru, bekas pemimpin PKR itu menasihatkan para pemimpin politik di Malaysia patut tahu memainkan peranan masing-masing.

“Ini masa semua tidak boleh gagal dan semua harus memainkan peranan masing masing.

“Teringat kitab Al-Ghurabaa karya Imam Al-Ajuri, kitab AL-Fitan Wa Ashrat As Saah yang mengisahkan akhir zaman nanti keadaan akan sangat celaru sehingga bagi orang yang memegang kebenaran perlu mengasingkan diri,” katanya. – Malaysiapost

Komen