Isu pekerja asing: DAP nak selesai atau main politik? – soal Razlan

Isu pekerja asing: DAP nak selesai atau main politik? – soal Razlan

DATUK Mohd Razlan Rafii mempersoalkan tindakan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham yang dilihat tidak membantu menyelesaikan masalah berhubung isu kekurangan pekerja asing di Malaysia.

Sebaliknya Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu, berkata kedua-dua pemimpin pembangkang tersebut dilihat hanya menekan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berhubung isu terbabit.

Beliau berkata, Guan Eng dan Koo Ham juga disifatkan tidak profesional apabila menolak pelawaan Saravanan menghadiri sesi taklimat khas di pejabatnya di Putrajaya, 5 Oktober ini.

“Baru-baru ini DAP membangkitkan isu pekerja asing, memberi kata dua kepada Saravanan.

“Untuk memberikan gambaran kononnya kementerian gagal melaksanakan tanggungjawab, apabila Saravanan menjemput mereka ke Pejabat, MP DAP menolak dan tidak mahu menerima penjelasan.

“‘Ngeh dan Ngah’ sepatutnya ikut cara Ahli Parlimen di Kuala Lumpur, apabila ada masalah Banjir dan Shahidan menjemput mereka, mereka hadir dan bersama-sama menyelesaikan masalah Rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mohd Razlan berkata, apa sahaja kepentingan rakyat, daripada sudut ekonomi mahupun kehidupan sosial, DAP seharusnya meletakkan keutamaan dan jangan hanya mahu mengambil kredit politik.

“Apa salahnya mereka hadir dan dialog dengan menteri, faham apa isu sebenar dan apakah halangan yang sedang di hadapi, negara baru sahaja selesai Covid, sudah pasti ada banyak yang perkara tertangguh.

“Setiap kali masuk tahun Pilihanraya, macam-macam DAP cipta, rakyat sudah muak dengan pelbagai hasutan, seeloknya DAP berhenti melakukan perangai lama fokus kepada membantu rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Komen