MKT Umno mahu pembubaran Parlimen tahun ini

MKT Umno mahu pembubaran Parlimen tahun ini

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini. 

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan yang berkata, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mencapai beberapa ketetapan termasuk berkaitan pembubaran Parlimen. 

“Pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada tahun ini juga. 

“Berdasarkan keputusan ini, YAB Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya. 

Sehubungan itu, Ahmad Maslan berkata, semua jentera parti di setiap peringkat adalah diarahkan untuk memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh Pilihan Raya Umum ke-15.

“Keputusan Mesyuarat ini adalah berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat Pandemik Covid-19  setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan kerana persengketan dalaman politik sesama mereka.

“Umno percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperolehi, maka sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup mereka, disamping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik buat negara,” katanya. -Malaysiapost

Komen