Keluarga tidak sabar bertemu Azi, masih tunggu panggilan pihak berkuasa

Keluarga tidak sabar bertemu Azi, masih tunggu panggilan pihak berkuasa

KELUARGA Rosnazirah Mohd Naim, 36, mengakui tidak sabar untuk berjumpa dengan ejen jualan produk kosmetik itu selepas lebih dua minggu diculik sekumpulan lelaki pada 13 September lalu.

Kakak mangsa berkata, walaupun mengetahui berita mengenai adiknya, yang ditemui selamat di Thailand dan sudah dibawa pulang, mereka agak ragu-ragu selagi tidak dapat melihatnya di depan mata.

“Sejak malam tadi kami sekeluarga menerima mesej menerusi WhatsApp dan panggilan bertalu-talu mengucapkan syukur atas maklumat Azi sudah ditemui,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Menurut wanita itu, mereka hanya mengetahui berita Rosnazirah atau mesra disapa Azi sudah ditemui melalui panggilan telefon sanak saudara dan rakan kerana ada disertakan sekali dengan kenyataan media Ketua Polis Negara.

“Tetapi setakat ini kami belum menerima maklumat secara rasmi berhubung perkara ini dan tidak tahu Azi diletakkan di mana jika benar dia sudah dibawa balik ke negara ini.

“Maklumlah, sekarang banyak sangat berita palsu dan tidak benar mengenai kes kehilangan Azi menyebabkan kami sekeluarga jadi was-was selagi Azi tidak berada di depan mata sendiri,” katanya.

Wanita itu menyifatkan doa mereka dan seluruh rakyat Malaysia termakbul dengan penemuan adiknya itu kerana setiap hari hanya itu sahaja diharapkan.

Katanya, mereka kini hanya menunggu panggilan daripada pihak berkuasa untuk sebarang perkembangan dan tidak sabar untuk berjumpa dengan Azi.

Semalam, media melaporkan, Rosnazirah yang diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Tumpat, Kelantan pada 13 September lalu berjaya diselamatkan.

Lokasi kedudukan mangsa berusia 36 tahun itu berjaya dikesan hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa Thailand dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani,berkata, melalui kerjasama erat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan berjaya mengenalpasti lokasi keberadaan wanita itu di Thailand.

“Dalam kes ini juga seramai tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya. – Malaysiapost

Komen