Kepulangan PM disambut bagai wira

Kepulangan PM disambut bagai wira

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi sambutan meriah ketika pulang
dari lawatan kerja ke New York dan Abu Dhabi.

Pesawat yang membawa Perdana Menteri dan delegasinya selamat tiba di Kompleks Bunga Raya (KLIA), kira-kira 10.30 malam semalam selepas menamatkan lawatan kerja empat hari ke New York dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Perdana Menteri disambut sebagai wira Bahasa Melayu kerana mencatatkan sejarah, apabila berucap dalam bahasa kebangsaan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.

Di UNGA yang menghimpunkan lebih 150 pemimpin dunia untuk acara tahunan itu, Ismail Sabri menyampaikan Kenyataan Negara dalam bahasa Melayu – kali pertama oleh seorang pemimpin Malaysia berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada perhimpunan diplomatik terbesar itu.

Beliau turut menyentuh pelbagai isu antarabangsa antaranya konflik di Ukraine, isu Myanmar dan Palestin serta sekuriti makanan dan perubahan iklim.

Antara yang hadir menyambut kepulangan Perdana Menteri ialah kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka bersama wakil Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), yang membawa plakad antaranya “Ismail Sabri Wira Negara Angkat Bahasa Negara di Pentas Dunia”. -Malaysiapost

Komen