Kit Siang lupa Guan Eng sedang berdepan kes rasuah terowong – Asyraf Wajdi 

Kit Siang lupa Guan Eng sedang berdepan kes rasuah terowong – Asyraf Wajdi 

KETUA Pemuda Umno menyindir Lim Kit Siang susulan kenyataan veteran DAP itu yang meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan bukti wujudnya korupsi di Pulau Pinang. 

“Dia terlupa agaknya bahawa anaknya Lim Guan Eng ketika inipun sedang berhadapan dengan kes rasuah terowong Pulau Pinang RM6.3 billion. 

“Dahlah kes rasuah banglo boleh senang-senang dibebaskan dan dilepaskan setelah Pakatan Harapan (PH) naik berkuasa dan melantik peguam mereka Tommy Thomas sebagai Peguam Negara,” tulis Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Facebooknya. 

Terdahulu hari ini Kit Siang mencabar Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki membuktikan rasuah dan salah guna kuasa di Pulau Pinang membimbangkan. 

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Azam perlu mengemukakan fakta dan angka terhadap dakwaan yang dibuat. 

“Tanpa mengira mana-mana negeri, kes-kes rasuah dan salah guna kuasa perlulah dihapuskan sekiranya ia sudah mencapai tahap membimbangkan. 

“Adakah Azam Baki mempunyai fakta dan angka untuk membuktikan kenyataannya ini? Negeri manakah yang paling dan kurang korup dalam negara?” tanya Kit Siang.

Semalam Azam berkata sebanyak 919 aduan diterima SPRM berhubung kesalahan menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang sejak 2019. 

Azam berkata, daripada jumlah itu  sebanyak 312 aduan melibatkan kes menerima suapan manakala salah guna kuasa (147 kes). 

“Perkara itu membimbangkan kerana ia membabitkan salah guna kuasa seperti menggunakan jawatan untuk pemberian kontrak kerja kepada keluarga atau individu yang mempunyai pertalian darah,” katanya. – Malaysiapost

Komen