PM arah Tommy Thomas disiasat segera 

PM arah Tommy Thomas disiasat segera 

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agensi penguatkuasa melakukan siasatan lanjut segera ke atas bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung kandungan yang ditulis dalam bukunya.  

Perdana Menteri berkata, terdapat empat isu utama daripada 19 isu penting dalam buku yang ditulis Tommy perlu disiasat lanjut oleh agensi penguatkuasa.  

“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan agar siasatan lanjut segera dilaksanakan oleh agensi penguat kuasa berkaitan, bagi menyiasat kemungkinan salah laku Tommy Thomas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.  

Perdana Menteri menjelaskan, Pasukan Petugas Khas siasatan buku tersebut telah menemui 19 kategori melibatkan isu-isu penting sekali gus mengesan empat isu utama.  

“Pasukan Petugas Khas siasatan ke atas dakwaan-dakwaan dalam buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, tulisan Tommy Thomas, telah membentangkan laporan siasatan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.   

“Laporan tersebut disediakan oleh pasukan ini dalam tempoh sembilan bulan, bermula Disember 2021 sehingga Ogos 2022, dengan memperincikan setiap dakwaan yang disebut Tommy Thomas dalam bukunya itu. 

“Berdasarkan siasatan yang dibuat, pasukan ini telah mengkategorikan 19 isu-isu penting yang dikesan dalam buku tersebut kepada empat  isu utama iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman, pendedahan maklumat dan rahsia Kerajaan, tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian professional, dan kenyataan berbaur hasutan,” katanya.  

Perdana Menteri berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 124(1) & Seksyen 203A Kanun Keseksaan;  Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pada 25 September lalu, Malaysiapost melaporkan AGC mengesyorkan supaya laporan Pasukan Petugas Khas berhubung siasatan ke atas buku bekas Peguam Negara tidak didedahkan kepada umum.

Menurut sumber, AGC telah mengemukakan syor berkenaan kepada kerajaan.

“Berdasarkan syor yang dikemukakan, AGC berpendapat laporan pasukan petugas khas itu tidak wajar didedahkan kepada umum.

“Ini kerana pasukan petugas khas diwujudkan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 8 Oktober 2021 selaras dengan pelaksanaan kuasa eksekutif di bawah Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Malaysiapost. -Malaysiapost

Komen