PRU15: ‘Biarkan saja Zahid marah, nyawa rakyat lebih utama’- Guan Eng ingatkan PM

PRU15: ‘Biarkan saja Zahid marah, nyawa rakyat lebih utama’- Guan Eng ingatkan PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengutamakan kepentingan dan keselamatan rakyat, berbanding kepentingan politik sempit Umno sebelum memutuskan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi DAP Lim Guan Eng, berkata Ismail Sabri yang dijangka mengadakan pertemuan dengan ‘top five’ Umno malam ini berhubung tarikh PRU15, perlu sedar bahawa beliau bukan sahaja Perdana Menteri Umno tetapi kepada 32 juta rakyat Malaysia.

“Peringatan ini bagi memastikan beliau meletak kepentingan rakyat pada kedudukan partama.

“Ia susulan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) semalam meramalkan negara bakal melalui fasa peralihan monsun bermula 3 Oktober hingga akhir November.

“MetMalaysia turut menyebut semasa fasa peralihan monsun ini, negara akan menghadapi ribut petir yang berpotensi mencetuskan banjir kilat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, kerajaan mempunyai tugas asas memastikan pengundi keluar mengundi dalam keadaan teratur, selamat, terjamin dan tenang.

“Kesediaan mengharungi banjir untuk mengundi dan berkempen seperti yang disarankan oleh Presiden Umno, (Datuk Seri Dr) Ahmad Zahid Hamidi adalah memalukan dan tidak patut diucapkan oleh seorang wakil rakyat.

“Lebih baik menahan kemarahan Ahmad Zahid daripada mengundang kemarahan alam,” katanya.

Justeru katanya, Ismail Sabri harus mengambil kira pertimbangan itu dalam meyakinkan lima pemimpin tertinggi Umno – adalah dangkal dan tidak bertanggungjawab untuk mengadakan PRU15 semasa musim tengkujuh.

“Bagaimana pengundi mahu menjalankan kewajipan mereka sebagai jika mereka terpaksa mengharungi air banjir untuk mengundi.

“Sedangkan mereka lebih perlu utamakan usaha menyelamatkan harta benda dan nyawa mereka,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, rakyat tidak boleh diletakkan dalam keadaan berisiko dan bahaya hanya bagi memenuhi kehendak politik dan angan-angan ahli politik yang tidak jujur dan pentingkan diri sendiri.

“Ini adalah peluang terbaik untuk Ismail Sabri berkhidmat sebagai Perdana Menteri dengan mengadakan pilihan raya umum tahun depan.

“… dan meninggalkan kesan yang berpanjangan dengan sanggup menentang ketua politiknya dalam Umno kerana hakikatnya beliau perlu berkhidmat kepada ketua beliau yang sebenar (iaitu) rakyat Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

Komen