Puteri Umno desak laporan buku Tommy Thomas didedahkan 

Puteri Umno desak laporan buku Tommy Thomas didedahkan 

PUTERI Umno mendesak agar Laporan Pasukan Petugas Khas berhubung siasatan ke atas buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas didedahkan. 

Sehubungan itu Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata pihaknya mendesak agar Kabinet segera meneliti keputusan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya secepat mungkin. 

Beliau turut merujuk laporan portal Malaysiapost yang Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat buku “My Story: Justice in the Wilderness” itu tidak menolak kemungkinan wujud salah laku oleh bekas Peguam Negara itu ketika memegang jawatan berkenaan. 

“Saya turut dapat banyak soalan daripada rakyat, bilakah kita akan tahu hasil siasatan itu?,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini. 

Baru-baru ini Malaysiapost yang memetik sumber melaporkan, Jabatan Peguam Negara mengesyorkan supaya laporan pasukan petugas khas berkenaan tidak didedahkan kepada umum. 

Terdahulu hari ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agensi penguatkuasa melakukan siasatan lanjut segera ke atas Thomas berhubung kandungan yang ditulis dalam bukunya.  

Perdana Menteri berkata, terdapat empat isu utama daripada 19 isu penting dalam buku yang ditulis Thomas perlu disiasat lanjut oleh agensi penguatkuasa.  

Perdana Menteri menjelaskan, Pasukan Petugas Khas siasatan buku tersebut telah menemui 19 kategori melibatkan isu-isu penting sekali gus mengesan empat isu utama. – Malaysiapost

Komen