Serah mandat kepada rakyat, tamatkan kemelut politik ‘ugut-mengugut’ – Asyraf Wajdi

Serah mandat kepada rakyat, tamatkan kemelut politik ‘ugut-mengugut’ – Asyraf Wajdi

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata tindakan menolak Bajet 2023 sama seperti menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P Waytha Moorthy yang mendakwa, ‘pertembungan’ antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri, berkemungkinan menyebabkan Perikatan Nasional (PN) tidak menyokong Bajet 2023.

Menurut Asyraf Wajdi lagi, tindakan ‘ugut-mengugut’ ini tidak membawa sentimen atau persepsif positif kepada negara dan pelabur asing.

“Apakah ugut-mengugut seperti ini mampu memberikan persepsi dan sentimen positif kepada pemain-pemain industri dan pelabur dalam dan luar negara?

“Benar PN menyumbang 39% berbanding BN hanya 34% dalam Kerajaan hari ini. Menolak Bajet samalah seperti menarik sokongan daripada Perdana Menteri,” katanya menerusi Facebook.

Justeru, Asyraf Wajid menegaskan adalah wajar untuk segera mengembalikan mandat kepada rakyat supaya kerajaan mutlak dapat dibentuk.

“Sekali gus mengembalikan kepercayaan dan keyakinan pelabur bagi memastikan ekonomi negara dapat dipacu dengan stabil demi kemakmuran rakyat,” katanya.

Baru-baru ini, Waytha Moorthy berpandangan ‘pertembungan’ terbaharu antara Ismail Sabri Yaakob dengan Muhyiddin kemungkinan menyaksikan parti teras PN itu tidak menyokong Bajet 2023.

Menurutnya, ‘pengisytiharan perang terbuka’ terhadap Barisan Nasional (BN) jelas menunjukkan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu tidak mempunyai keyakinan terhadap kerajaan pimpinan Ismail.

“Tindakan mengisytiharkan perang terbuka memaparkan kerajaan sedia ada sebagai rapuh dan mungkin jatuh pada bila-bila masa.

“Kenyataan Muhyiddin menjadi petunjuk tiada jaminan parti itu (Bersatu) akan menyokong Bajet 2023, yang dijangka dibentang pada 7 Oktober,” katanya. – Malaysiapost

Komen