SPRM perlu dedah jumlah penjawat awam Pulau Pinang didakwa, didapati bersalah

SPRM perlu dedah jumlah penjawat awam Pulau Pinang didakwa, didapati bersalah

KERAJAAN Pulau Pinang meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan jumlah kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan penjawat awam di negeri itu serta bilangan yang telah didapati bersalah.

Gesaan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mendedahkan kes suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam Pulau Pinang adalah membimbangkan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata pihaknya mengalu-alukan siasatan SPRM terhadap sebarang kesalahan dilakukan penjawat awam negeri itu, selain meminta suruhanjaya berkenaan turut bertindak telus.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri mahu SPRM bersikap telus dengan mendedahkan jumlah kes yang dibawa ke mahkamah dan jumlah penjawat awam yang didapati bersalah.

“Kerajaan negeri menggesa SPRM bersikap telus kerana kami tidak mahu imej penjawat awam Pulau Pinang dan kerajaan negeri terjejas hanya dengan jumlah laporan yang diterima sejak 2019,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan SPRM untuk memastikan pegawai yang melakukan kesalahan dikenakan tindakan tegas.

Semalam, Azam memaklumkan sebanyak 919 aduan diterima SPRM berhubung kesalahan menerima suapan, salah guna kuasa dan membuat tuntutan palsu dalam kalangan penjawat awam di Pulau Pinang sejak 2019 sehingga kini.

Azam berkata, daripada jumlah itu sebanyak 312 aduan melibatkan kes menerima suapan manakala salah guna kuasa (147 kes).

“Perkara itu membimbangkan kerana ia membabitkan salah guna kuasa seperti menggunakan jawatan untuk pemberian kontrak kerja kepada kaum keluarga atau individu yang mempunyai pertalian darah,” katanya.

Azam dilapor berkata demikian dalam temu bual program Cakna Rasuah bersama radio Mutiara.fm, RTM Pulau Pinang, semalam. – Malaysiapost

Komen