SPRM sahkan penahanan Datuk Bandar Shah Alam

SPRM sahkan penahanan Datuk Bandar Shah Alam

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor bagi membantu siasatan kes tender projek tebatan banjir berstatus mega.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, berkata Zamani ditahan tengah hari kelmarin dan dilepaskan dengan jaminan selepas diambil keterangan pada hari sama.

“Beliau dilepaskan dengan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin”, katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Hishamuddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada individu itu akan dituduh atau tidak dalam tempoh terdekat.

Difahamkan, Zamani ditahan selepas pegawai SPRM hadir di pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tengah hari kelmarin.

Terdahulu media melaporkan, =seorang Datuk Bandar ditahan SPRM bagi membantu siasatan terhadap tender projek tebatan banjir dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

Sumber yang mengesahkan tangkapan itu, berkata lelaki berusia lingkungan 50 tahun terbabit ditahan dalam usaha agensi itu melengkapkan siasatan terhadap penyelewengan berkenaan.

“Beliau ditahan semalam (kelmarin). Selepas keterangannya diambil, beliau dibebaskan dengan jaminan RM50,000 oleh seorang penjamin,” memetik sumber.

MBSA malam tadi mengesahkan Zamani dipanggil SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung tender projek tebatan banjir kelmarin.

Bagaimanapun, MBSA memaklumkan Zamani tidak ditahan SPRM seperti dilaporkan, sebaliknya beliau kembali bertugas di pejabat semalam selepas memberi keterangan.

SPRM sebelum ini mengesan kewujudan kartel dalam MBSA yang dipercayai memonopoli tender projek mega di bandar raya berkenaan.

Difahamkan, kartel itu turut membabitkan pengurusan tertinggi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan yang mempunyai kuasa untuk menyerahkan tender secara runding terus kepada pihak tertentu. – Malaysiapost

Komen