Tarikh PRU15: Tumpuan luar biasa mesyuarat MKT Umno malam ini

Tarikh PRU15: Tumpuan luar biasa mesyuarat MKT Umno malam ini

TUMPUAN luar biasa diberikan kepada Mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang berlangsung malam ini. 

Sejak dari pukul 8 malam ini, para pengamal media daripada pelbagai agensi telah berkumpul di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur untuk mengikuti perkembangan mesyuarat berkenaan. 

Mesyuarat MKT Umno yang berlangsung ketika ini menjadi tumpuan orang ramai kerana hasil keputusannya akan memberi bayangan sama ada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini atau sebaliknya. 

Pastinya, mesyuarat MKT Umno yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, membincangkan desakan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mahu PRU15 diadakan pada tahun ini, sebelum musim tengkujuh melanda negara. 

Bagaimanapun, tumpuan mesyuarat MKT kali ini pasti terarah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sama ada akur kehendak partinya atau sebaliknya. 

Difahamkan, lebih 160 Umno Bahagian berdiri teguh di belakan Presiden yang mahukan PRU15 diadakan segera. 

Sebelum ini, Perdana Menteri memberitahu media bahawa beliau masih tiada ilham untuk menentukan tarikh PRU15 diadakan. 

Bagaimanapun, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno berkata, perkara itu kemungkinan terjawab setelah perbincangan pada mesyuarat MKT malam ini. -Malaysiapost

Komen