Tiada arahan gencatan senjata dengan PAS – Umno Kedah

Tiada arahan gencatan senjata dengan PAS – Umno Kedah

UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kedah tidak menerima sebarang arahan ‘cease fire’ atau ‘genjatan senjata’ dengan PAS.

Ia susulan beberapa laporan Umno telah mengarahkan petugas sibernya untuk mematuhi gencatan senjata dengan PAS buat masa ini.

Susulan itu, Pengarah Komunikasi BN Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata gerak kerja penerangan dan pendedahan berjalan seperti biasa.

Menurutnya, ia melibatkan sesi penerangan bahawa Umno dan BN akan membuktikan ia adalah kerajaan menunggu “government In the waiting” di Kedah yang menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat.

Selain itu katanya, Umno mahu menamatkan segala kekusutan, permasalahan dan onar yang didakwa dibuat oleh kerajaan PAS Kedah, terutama masalah air dan ekonomi.

“Umno juga mahu menamatkan drama pengumuman dan “twist” fakta dibuat oleh Menteri Besar. Ini juga melibatkan perbandingan fakta yang dimanipulasi

“Menamatkan era kerajaan “katak” yang tidak berprinsip dan bermaruah. Kerajaan yang ada sekarang stabil disebabkan sumbangan katak politik yang mempunyai kecenderungan dan kembali melompat.

“Memelihara nama baik dan imej kerajaan, kerajaan yang bakal ditubuhkan nanti tidak akan semata-mata mencari konflik dan bergaduh demi menaikkan rating murahan,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Shaiful Hazizy, kerajaan yang bakal dibentuk oleh Umno dan BN nanti bakal memberi tawaran baharu kepada rakyat Kedah melalui “Agenda Baru Kedah” meliputi semua aspek.

Baru-baru ini beberapa media melaporkan, Umno telah mengarahkan petugas sibernya untuk mematuhi gencatan senjata dengan PAS buat masa ini.

Ini berikutan pertemuan antara Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan rakan sejawatannya dari PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Pertemuan antara Abdul Hadi Awang dengan Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini dikatakan menjadi tempat pemimpin Umno terbabit menyatakan perasaan Umno terhadap PAS. – Malaysiapost

Komen