171 buruh paksa rakyat Malaysia telah selamat pulang ke tanah air

171 buruh paksa rakyat Malaysia telah selamat pulang ke tanah air

SEHINGGA kini seramai 261 warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara telah diselamatkan dan daripada jumlah itu 171 orang telah dibawa balik ke Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata baki 90 orang sedang menunggu proses penghantaran pulang dan terbaru seramai 13 mangsa telah diselamatkan dan pulang dari Kemboja ke tanah air semalam melalui penerbangan Air Asia AK535.

Beliau berkata, selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 September lalu, satu Jawatankuasa Khas diketuai Kementerian Luar Negeri (KLN) ditubuhkan bagi menangani isu berkenaan secara lebih bersepadu dan menyeluruh.

Saifuddin berkata, beliau telah mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas secara dalam talian pada 27 September lalu.

Menurutnya, Jawatankuasa Khas itu turut dianggotai oleh sembilan Kementerian/Agensi lain iaitu Jabatan Perdana Menteri (JPM); Jabatan Peguam Negara (AGC); Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, pihak lain adalah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM); Kementerian Sumber Manusia (KSM); Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Antara cadangan dan tindakan yang telah, dan akan diambil hasil Mesyuarat Jawatankuasa Khas itu adalah KLN telah mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua Perwakilan negara-negara yang terlibat pada 30 September 2022.

“Pertemuan ini bertujuan memaklumkan pendirian Kerajaan Malaysia yang prihatin dan memandang serius isu ini, di samping usaha mendapatkan kerjasama negara-negara terlibat dalam menggiatkan usaha mengesan dan menyelamatkan mangsa.

“Ketua-ketua Perwakilan asing yang berkenaan telah menyatakan komitmen Kerajaan masing-masing untuk memberikan kerjasama erat dalam menangani isu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pada masa sama, Ketua-ketua Perwakilan Malaysia di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand telah diminta untuk terus berusaha menyelesaikan isu ini secara cepat dan tuntas.

“Selain itu, KLN dan PDRM sedang menyelaraskan usaha bagi membolehkan kerjasama yang lebih rapat di antara PDRM dengan pihak berkuasa negara pertemuan khusus bagi menangani isu ini.

“Negara yang berkenaan melalui KLN juga telah mengadakan perbincangan dengan pihak KKOM untuk menyediakan Pelan Komunikasi yang lebih komprehensif dalam memberikan pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai,” katanya.

Menurutnya, KLN dan Perwakilan Malaysia di negara-negara terlibat akan terus komited dalam menjalinkan hubungan kerjasama rapat dengan Kerajaan negara berkenaan bagi menggiatkan usaha mengesan dan menyelamatkan mangsa.

“Orang ramai dinasihatkan segera membuat laporan kepada PDRM dan KLN sekiranya ada di ahli keluarga menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

“KLN sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan Keluarga Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara,” katanya. – Malaysiapost

Komen