DAP dakwa Umno derhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong

DAP dakwa Umno derhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong

DAP menyifatkan ketetapan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini sebagai angkuh dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata keputusan Umno juga membelakangkan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam soal pembubaran Parlimen.

Tegasnya, berdasarkan keputusan Umno itu, pembubaran Parlimen mesti diadakan dalam masa terdekat dan PRU15 diadakan tahun ini seolah-olah satu prasyarat ditetapkan MKT Umno terhadap Yang di-Pertuan Agong tanpa mengambil kira bahawa Perkara 40(1) juga perlu dibaca bersekali dengan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan.

Sambil menyifatkan ia penderhakaan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong, Siew Fook berkata tidak pernah dalam sejarah negara kenyataan terbuka mengenai pembubaran Parlimen dikeluarkan sebelum Perdana Menteri menghadap untuk mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

Beliau juga mengingatkan Umno bahawa parti itu hanya mempunyai 38 ahli Dewan Rakyat daripada 222 orang atau hanya 17 peratus yang membentuk Parlimen Malaysia.

“Umno tidak boleh dibenarkan untuk bertindak sewenang-wenangnya seolah-olah mereka masih parti majoriti terbesar di Parlimen pada hari ini.

“DAP akan menjunjung dan menghormati sepenuhnya keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam soal membubarkan Parlimen selaras prinsip dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“DAP menaruh kepercayaan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan menggunakan budi bicara dan kebijaksanaan baginda untuk membuat keputusan terbaik demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Malam tadi Mesyuarat MKT Umno membuat ketetapan supaya PRU15 diadakan tahun ini. 

Setiausaha Agung Umni, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata susulan  itu, Perdana Menteri akan mempersembah cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Menjelaskan lebih lanjut, Siew Foke berkata, Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa budi bicara kepada Yang di-Pertuan Agong seperti berikut;

Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri;

(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;

(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.

Tambahnya, Perkara 40(2)(b) amat jelas memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen. – Malaysiapost

Komen