Dua beradik maut renjatan elektrik: Tiada talian terputus daripada tiang TNB

Dua beradik maut renjatan elektrik: Tiada talian terputus daripada tiang TNB

SIASATAN awal pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapati tidak berlaku talian yang terputus daripada tiang TNB dan menimpa bumbung rumah dua kanak-kanak lelaki yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik di depan rumah mereka di Kampung Teras Jernang, Selangor, semalam.

TNB dalam kenyataan, hari ini bagaimanapun menegaskan siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung kejadian menimpa dua beradik berkenaan yang dikatakan sedang bermain air semasa terkena renjatan daripada kebocoran arus.

“TNB mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa atas kehilangan dua anak lelaki berusia 10 dan sembilan tahun, yang disyaki terkena renjatan elektrik di perkarangan rumah mereka di Kampung Teras Jernang, petang semalam.

“Susulan kejadian itu TNB telah menghantar wakil menziarahi keluarga mangsa dan amat bersimpati atas kejadian menimpa kedua beradik yang dilaporkan sedang bermain air semasa terkena renjatan daripada kebocoran arus,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan TNB dan Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang menyiasat kejadian tersebut.

“Siasatan awal bagaimanapun mendapati tidak berlaku talian yang terputus daripada tiang TNB dan menimpa bumbung rumah mangsa seperti dakwaan pihak tertentu.

“Justeru, TNB meminta kerjasama orang ramai agar tidak membuat spekulasi mengenai punca kejadian sehingga siasatan selesai sepenuhnya dan sebagai menghormati keluarga mangsa,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, wakil TNB telah menziarahi keluarga mangsa dan turut menyerahkan sumbangan ehsan.

Terdahulu media melaporkan dua beradik berusia sembilan dan 10 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mandi dalam besen di hadapan rumah mereka, petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang di Kampung Teras Jernang itu, mangsa dikenali Adam Haziq, 10, dan Adam Harish, 9, disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian itu disedari bapa mangsa apabila mendapati kedua-dua mangsa sudah tidak sedarkan diri selepas pulang dari kedai.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca dari renjatan elektrik yang mengalir dari sebatang besi yang merupakan besi penyidai baju. – Malaysiapost

Komen