Pemuda Umno terus jalin hubungan strategik dengan NUTP – Asyraf Wajdi

Pemuda Umno terus jalin hubungan strategik dengan NUTP – Asyraf Wajdi

PEMUDA Umno Malaysia akan terus bersama-sama dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) bagi membawa suara guru agar isu-isu penting membabitkan pendidikan negara terus diberi perhatian serius.

Ketua Pemuda Umno datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata isu-isu berkenaan akan disuarakan melalui Sekretariat Pekerja Muda Pemuda Umno Malaysia.

Menurutnya, hubungan akrab antara Pemuda Umno dan NUTP sudah mula terjalin sejak beberapa isu berkaitan kebajikan guru-guru dibawa Pemuda Umno ke pengetahuan Kerajaan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sebagai tanda penghargaan kepada Perdana Menteri, hari ini NUTP menghimpunkan lebih 2,000 guru seluruh Malaysia dalam satu Perhimpunan Khas Warga NUTP bersama Perdana Menteri di Matrade Exhibition Centre, Kuala Lumpur.

“Perdana Menteri mendengar rintihan guru-guru yang disuarakan oleh Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkaitan beberapa isu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, antara permintaan guru-guru yang dipersetujui secara terus ‘on-the-spot’ oleh Ismail Sabri hari ini termasuklah Gred Guru Besar (khas untuk penyandang) dan Guru Penolong Kanan sekolah rendah ditingkatkan.

Menurutnya, peningkatan itu sehingga ke gred maksimum DG54 yang secara langsung memberi faedah kepada seramai 2,047 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di seluruh negara.

“Kerajaan juga sedang mengkaji struktur perjawatan Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Sekolah Rendah melalui cadangan Model Sekolah dengan penetapan gred fleksi sehingga DG54.

“Jawatankuasa Khas Bagi Meneliti dan Menambah baik Prosedur Kes Gangguan Seksual dan Buli di Institusi Pendidikan juga telah ditubuhkan,” katanya.

Beliau berkata, selain itu Kerajaan juga akan mengkaji kadar bayaran Pengawas Peperiksaan Awam dan juga kadar bayaran Pemeriksa Kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Kerajaan turut berusaha mengatasi pelbagai isu membelenggu pendidikan negara seperti penyelenggaraan sekolah-sekolah bagi menjaga aspek keselamatan serta isu kekurangan guru yang harus diatasi segera.

“Pada 14 Jun lalu secara rasmi kerajaan sudah memberikan kebenaran kepada guru-guru gred DG41 hingga DG54 menganggotai kesatuan sekerja, sambil turut menikmati manfaat sebagai ahli kesatuan.

“Kerajaan juga menyedari terdapat lima juta murid di 10,250 buah sekolah memerlukan kemudahan ICT yang terkini selaras dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.

Sementara itu, Asyraf Wajdi turut mengucapkan terima kasih kepada Aminuddin kerana menghargai sumbangan Pemuda Umno dalam memperjuangkan isu-isu mereka dengan mengundang ke Perhimpunan Khas hari ini. – Malaysiapost

Komen