Polis buru 2 lelaki lepaskan tembakan 

Polis buru 2 lelaki lepaskan tembakan 

POLIS kini sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian melepaskan tembakan di sebuah rumah di Sitiawan, Perak tengah hari semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 1.07 tengah hari semalam daripada seorang lelaki yang memaklumkan rumah rakannya ditembak oleh dua lelaki terbabit.

“Lelaki berkenaan menghubungi polis dan memberitahu dua lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah motosikal melepaskan tembakan di hadapan rumah rakannya.

“Polis kemudian ke lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan lanjut dan hasil siasatan mendapati rumah berkenaan didiami seorang lelaki bersama isteri dan dua anak lelakinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemilik rumah berkenaan memaklumkan isterinya terdengar bunyi letupan di luar rumah pada waktu pagi namun tidak mengendahkannya.

“Pada jam 12.45 tengah hari ketika pemilik rumah terbabit keluar rumah untuk mengambil barang menyedari terdapat kerosakan pada cermin belakang keretanya sebelum menemui kelongsong peluru di bawah keretanya.

“Hasil pemeriksaan Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, kemudian menemui kesan lubang pada bahagian cermin belakang kereta mangsa dipercayai akibat daripada tembakan,” katanya.

Menurutnya, selain kelongsong peluru polis turut menjumpai kepala peluru di kawasan Bonet belakang kenderaan tersebut.

“Pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran mendapati dua lelaki yang tidak dikenali telah menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 tanpa nombor pendaftaran.

“Suspek didapati melepaskan satu das tembakan yang mengenai kenderaan mangsa. Suspek kemudiannya cuba  melepaskan tembakan ke arah hadapan rumah, namun dipercayai pistol digunakan suspek gagal berfungsi sebelum melarikan diri,” katanya.

Mohd Yusri berkata, pihaknya kini masih menyiasat motif kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971.

“Justeru polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Mohd Azalan Ab Kari. di taian 019-3927837 atau mana-mana Balai Polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – Malaysiapost 

Komen