PRU15 tanpa persediaan ibarat menempah maut – Ku Li

PRU15 tanpa persediaan ibarat menempah maut – Ku Li

TENGKU Razaleigh Hamzah menyifatkan gesaan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera tahun ini, ibarat menempah maut jika ia dilaksanakan tanpa persediaan secukupnya.

Veteran Umno yang juga Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata parti akan kalah teruk jika tiada persediaan bagi berdepan PRU15, lapor Berita Harian.

“Kalau kita tak bersedia, kita seolah-olah nak cari maut. Jadi kita tak mahu menghadapi pilihan raya dan kalah, jika kalah tahun ini, teruk kita.

“Kita tak mahu berlaku begitu pada parti kita. Ini parti harapan orang Melayu… apatah lagi orang Melayu sudah berpecah belah dengan banyak, jadi mana kekuatan kita,” katanya seperti dilaporkan portal tersebut.

Malam tadi Mesyuarat MKT Umno membuat ketetapan supaya PRU15 diadakan tahun ini. 

Setiausaha Agung Umni, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata susulan  itu, Perdana Menteri akan mempersembah cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan. 

Menurut Ahmad, keputusan mesyuarat MKT adalah berasaskan pendirian konsisten Umno sejak awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik Covid-19, selepas runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana persengketaan dalaman sesama mereka.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh berkata keputusan mengadakan PRU15 pada musim tengkujuh perlu dibuat secara logik akal kerana boleh mengancam negara dan rakyat.

“Keputusan seumpama ini saya rasa kita kena bertindak dengan logik dan dengan asas yang kuat, tak boleh kita ikut nafsu semata-mata.

“Kita sendiri nak lari, nak selamatkan diri, macam mana nak adakan pilihan raya. Kita pun minta rakyat selamatkan diri, masa mana rakyat nak berfikir soal undi kalau terpaksa cari tempat tinggi, tempat selamat dan sebagainya,” katanya. – Malaysiapost

Komen