‘Saya digantung 6 tahun kerana kerap kritik Presiden’  

‘Saya digantung 6 tahun kerana kerap kritik Presiden’  

DATUK Mohd Yusof Ismail percaya keputusan Umno menggantung keahliannya selama enam tahun, susulan tindakannya yang kerap mengkritik Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Sehingga kini, kata Ketua Umno Bahagian Alor Setar itu, tiada makluman rasmi dibuat Ibu Pejabat Umno dan beliau juga belum memikirkan sama ada akan membuat rayuan atau sebaliknya. 

“Saya percaya keputusan penggantungan yang diumumkan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) adalah kesan tindakan yang kerap mengkritik Presiden, namun dilakukan secara tertutup. 

“Setakat ini saya belum dimaklumkan secara rasmi mengenai hukuman penggantungan enam tahun. Hanya dimaklumkan beberapa rakan MKT melalui panggilan telefon malam tadi. 

“Saya percaya ini juga isyarat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, jika Dewan Rakyat tidak dibubarkan segera, dia juga akan digantung seperti saya,” katanya. 

Selain Mohd Yusof, turut menerima hukuman sama ialah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. 

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, beliau agak kesal kerana hukuman ke atasnya lebih berat berbanding hukuman kepada ahli MKT Umno, Datuk Lokman Noor Adam yang lebih banyak memburukkan Perdana Menteri. 

“Saya memang ada kritik Presiden, tetapi dibuat hanya dalam kumpulan WhatsApp Ketua Bahagian Umno saja, Lokman kritik Perdana Menteri lebih banyak, tetapi hukuman tidak seberat saya. 

“Selama ini memang saya dianggap bukan orang Presiden, maka sebab itu saya kata ini isyarat kepada Perdana Menteri untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera. 

“Saya belum fikir sama ada akan merayu atas keputusan ini, tunggu saya bincang dengan dulu dengan Perdana Menteri dan kemudian akan fikir tindakan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

Komen