BN musuh: Muhyiddin, Bersatu berlagak ‘big brother’ – Puad

BN musuh: Muhyiddin, Bersatu berlagak ‘big brother’ – Puad

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa pembangkang sudah ketandusan idea apabila memainkan isu ‘Top Five’ dan ‘big brother’ atau abang besar dalam parti itu.

Menurut Mohd Puad, hakikatnya bukan Umno yang berlagak ‘big brother’ sebaliknya Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin yang dirasakannya lebih sesuai dengan gelaran tersebut.

“Pembangkang semakin ketandusan isu. Mereka main isu ‘Top 5’ dan ‘big brother’? Kalau nak sebut pasal ‘big brother’, Bersatu dengan satu kerusi boleh pegang jawatan MB (Menteri Besar) Perak.

“Bukan Muhyiddin berlagak ‘big brother’? Umum suka hati dia – ‘BN musuh utama PN’. (Ini) terbukti bila PAS umum Pakatan Harapan (PH) adalah musuh utama,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook.

Justeru, Mohd Puad berpandangan adalah wajar PAS keluar daripada Perikatan Nasional (PN) dan meninggalkan Bersatu.

Sebelum ini, Muhyiddin mengingatkan semua parti komponen PN perlu sepakat bahawa musuh utama gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah BN.

Beliau yang juga Pengerusi PN itu turut mengingatkan parti komponen PN supaya bergerak sebagai satu pasukan dengan hala tuju yang sama.

Jelas Muhyiddin, parti-parti dalam PN tidak sepatutnya membuat kenyataan atau menyatakan pendirian yang bertentangan antara satu sama lain.

Kenyataan itu dilihat bertentangan dengan pendirian PAS yang menegaskan musuh parti itu dalam PRU15 adalah PH, bukannya Umno dan BN. – Malaysiapost

Komen