Buku Tommy Thomas: Asyraf persoal sikap PH ‘kunci mulut’ terhadap laporan siasatan

Buku Tommy Thomas: Asyraf persoal sikap PH ‘kunci mulut’ terhadap laporan siasatan

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hairan dengan sikap pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang berdiam diri berhubung laporan hasil siasatan ke atas buku memoir Tan Sri Tommy Thomas yang sudah disiapkan Pasukan Petugas Khas.

Beliau berkata, sehingga kini belum ada sebarang komen atau kenyataan daripada mana-mana pemimpin PH mengenai hasil siasatan berkenaan walaupun ia terbukti wujud salah laku dan perlakuan jenayah oleh bekas Peguam Negara itu.

“Setakat ini belum ada sebarang komen atau kenyataan daripada mana-mana pimpinan PH mengenai hasil siasatan Pasukan Khas Penyisat Buku Tommy Thomas yang mendapati wujud salah laku dan perlakuan jenayah bekas Peguam Negara itu.

“… yang boleh dikenakan tindakan dibawah 4 Akta berbeza termasuk soal campur tangan dalam hal ehwal perlantikan hakim, hasutan, salah guna kuasa dan mendedahkan rahsia kerajaan.

“Kenapa agaknya PH berdiam diri sedangkan kononnya merekalah yang menjadi juara mendaulatkan undang-undang dan institusi kehakiman?,” soalnya menerusi Facebook.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agensi penguat kuasa segera melaksanakan siasatan lanjut ke atas Tommy Thomas berhubung pelbagai dakwaan yang terkandung dalam buku yang dihasilkan bekas Peguam Negara itu.

Menurutnya, siasatan akan dilakukan antaranya di bawah Seksyen 124(I) Kanun Keseksaan – penyebaran laporan palsu; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau berkata, pasukan petugas khas telah membentangkan laporan siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bari-baru ini dan mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil.- Malaysiapost

Komen