MBAS nafi beri lesen pada konsert depan Masjid Zahir

MBAS nafi beri lesen pada konsert depan Masjid Zahir

MAJLIS Bandaraya Alor Setar (MBAS) menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen kepada penganjur sebuah festival untuk mengadakan konsert di Balai Seni berhadapan dengan Masjid Zahir, semalam.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Zaid Ahmad, berkata MBAS melahirkan rasa kesal dengan tindakan penganjur terlibat yang disifatkan melanggar peraturan selain menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat negeri ini.

“Memang konsert atau gig tersebut dibuat tanpa kebenaran. Saya dimaklumkan pihak penganjur hanya mendapat lesen untuk mengadakan busking sahaja iaitu dua lesen yang kita bagi.

“Selain busking kita hanya membenarkan jualan termasuk trak makanan dan permainan kanak-kanak sahaja. Kita tengok macam konsert dah dan memang tak ada kebenaran,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Tambah beliau, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut termasuk memanggil penganjur berkenaan untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

Hari ini, tular di media sosial rakaman video persembahan kumpulan muzik di pentas yang disaksikan ratusan penonton terdiri daripada anak muda dengan pelbagai aksi di Balai Seni, Alor Setar, Kedah.

Aksi menari terkinja-kinja pengunjung terutamanya anak muda yang hadir ke situ turut tular melalui beberapa video di media sosial sejak semalam.

Acara berkenaan mengundang rasa kurang senang orang ramai memandangkan ia diadakan tidak jauh daripada Masjid Zahir. – Malaysiapost

Komen