Naib Ketua Pemuda Amanah meninggal dunia akibat serangan jantung

Naib Ketua Pemuda Amanah meninggal dunia akibat serangan jantung

NAIB Ketua Pemuda Amanah Nasional, Muhamad Fadzil Ahmad meninggal dunia di Hospital Klang dipercayai akibat serangan jantung, awal pagi tadi.

Berita kematian Allahyarham dimaklumkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu menerusi hantaran di Facebooknya.

Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu, berkata Allahyarham merupakan seorang peguam meninggalkan seorang isteri dan lima anak.

“Menerima berita duka pemergian Ustaz Muhamad Fadzil Ahmad, Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional.

“Seorang peguam muda yang sangat dedikasi dan tokoh muda yang berwawasan. Bagi pihak Parti Amanah Negara, kami sangat terasa dengan pemergian beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad turut mengucapkan takziah kepada isteri, anak-anak serta ahli keluarga Allahyarham.

“Marilah kita doakan semoga beliau dikurniakan setinggi keampunan dan ditempatkan bersama hamba hamba yang soleh,” katanya. – Malaysiapost

Komen