Umno letak 30 peratus calon wanita tanding PRU15 – Ahmad Maslan

Umno letak 30 peratus calon wanita tanding PRU15 – Ahmad Maslan

MAJLIS Kerja Tertinggi (MKT) Umno bersetuju meletakkan 30 peratus calon wanita dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, takrifan calon wanita tersebut termasuk calon wanita Umno, calon Puteri, calon wanita parti komponen dan yang berjawatan dalam bahagian.

Katanya, ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, sebanyak 25 peratus adalah wanita seperti kategori yang dinyatakan.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira kesetiaan, kemampuan dan peranan besar yang dilaksanakan oleh wanita sebagai tulang belakang parti selama ini.

“Umno akan terus menjadi parti tunjang dalam mengarusperdanakan kepimpinan wanita sebagai pembuat keputusan baik dalam politik, kerajaan, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Karnival Ayuh Cergas peringkat daerah, anjuran Hospital Pontian pdi Dewan Jubli Intan, Pontian, hari ini.

Turut hadir Pengarah Hospital Pontian, Dr Iszaid Idris, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hasan, ADUN Kukup Datuk Jefridin Atan, dan ADUN Pekan Nanas Datuk Tan Eng Meng.

Ahmad berkata, dalam Perhimpunan Agung Umno 2019 telah meminda perlembagaan parti Fasal 9.2.2 di mana Ketua Wanita Umno diangkat, bertaraf Timbalan Presiden Umno.

Dalam masa sama, beliau berkata Mesyuarat MKT pada 30 Oktober lalu juga membincangkan mengenai agenda pemerkasaan wanita yang dibawa oleh Wanita Umno Malaysia. – Malaysiapost

Komen