1MDB: Kerajaan setuju penyelesaian Jho Low dengan Amerika Syarikat?

1MDB: Kerajaan setuju penyelesaian Jho Low dengan Amerika Syarikat?

MALAYSIA dipercayai bersetuju berhubung penyelesaian yang telah dibuat ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho ataupun Jho Low dengan kerajaan Amerika Syarikat berhubung skandal 1MDB.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan persetujuan itu dibuat kerajaan ketika era Pakatan Harapan (PH) atau pun Perikatan Nasional (PN).

Berdasarkan surat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, perkara itu disebut dalam surat bertarikh 8 April 2022.

Surat berkenaan yang dilihat Malaysiapost merujuk kepada permohonan Jho Low yang meminta kerajaan menarik balik notis Interpol serta usaha untuk menangkapnya.

Permohonan itu dikemukakan melalui firma guaman Asyraf, Vivek & Wee.

“Permohonan ini adalah berdasarkan penyelesaian yang dibuat Low Taek Jho dengan kerajaan Amerika Syarikat dan telah dipersetujui oleh kerajaan Malaysia,” kata surat berkenaan yang ditandatangi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Berdasarkan surat itu juga, SPRM menolak permohonan yang dibuat oleh Jho Low.

Pada 16 Julai lalu, Jho Low dilapor menawarkan kepada kerajaan RM1.5 bilion sebagai penyelesaian bagi pertuduhan mahkamah dikenakan terhadapnya.

Menurut The Edge yang memetik sumber, cadangan itu dirunding dengan Putrajaya melalui bekas peguam negara, Tan Sri Apandi Ali.

Bagaimanapun, kerajaan menolak cadangan terbabit.- Malaysiapost

Komen